Rabu, 5 April 2017

Perginya seorang Tok Perak



ARKIB : 29/08/2003
Belasungkawa
Oleh Siti Rohayah Attan
(Wartawan Utusan)
DALAM sejarah Melayu, Tun Perak sinonim dengan nama seorang perwira yang gagah perkasa mempertahankan bumi Melaka daripada ancaman musuh. Dalam dunia televisyen, istilah Perak pula bagai menjadi milik Ahmad Marbawi apabila beliau berjaya menangani watak Tok Perak, seorang penjual ubat yang bijaksana. Dua watak ini mempunyai peranan tersendiri dalam dokumentasi sejarah.

Bermula dengan slot Drama Minggu Ini kemudian menjadi drama bersiri, Tok Perak mula meletakkan Ahmad Marbawi di tempat yang selesa dalam sejarah dunia seni. Siri karya Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan itu juga secara tidak langsung bagai meragut nama sebenar Ahmad Marbawi lalu digantikan kepada Tok Perak.

Kisah penjual ubat di stesen kereta api, Kuala Kangsar, Perak yang dijadikan idea untuk pementasan teater itu akhirnya menjadi lebih besar khalayaknya apabila menjadikan siri itu paling tinggi ratingnya di RTM apabila diperkenalkan lebih 20 tahun lalu.

Malangnya, siri ini tidak kekal meskipun ada gesaan supaya ia disambung semula. Itu jugalah harapan Ahmad Marbawi atau nama sebenarnya Ahmad Merbawi Yaman Husin. Beliau pernah menyatakan bahawa Tok Perak adalah drama yang memiliki dunia tersendiri, yang belum pernah dilahirkan sebelum dan selepasnya. Ini disuarakan dalam satu majlis untuk meraikan Seniman Negara, Datuk Syed Alwi, awal tahun ini di Muzium Negara.

Saya masih ingat, dengan kerusi roda yang disorong oleh anaknya dan peluh berjejeran, beliau hadir ke majlis itu. Tanpa dipaksa dengan nafas yang mencungap, beliau terus bercerita tentang Tok Perak dan sejarah drama itu.

Sejarah tetap sejarah. Semalam, kira-kira pukul 4 petang, di rumahnya di Keramat, Kuala Lumpur, Ahmad Marbawi kembali ke rahmatullah setelah terlantar tenat selama seminggu. Sebelum ini, Allahyarham menghidap pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan asma sehingga menyebabkan beliau tidak mampu berjalan.

Bagaimanapun, kudrat yang diberikan itu masih dipergunakan dengan sebaik-baiknya termasuklah menghadiri beberapa majlis yang dekat dengan hatinya.

Beliau yang dilahirkan pada 16 November 1938 meninggalkan sejarah yang tidak mungkin terpadam dalam sejarah seni. Memang seniman yang mempunyai lima cahaya mata ini tidak pernah mendapat gelaran terhebat, namun beliau memberi warna kepada dunia seni dengan semangat juang yang tinggi.

Perjuangannya bukan sekadar dalam bidang seni malah aktif dalam politik sehingga pernah menjadi wakil peribadi kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Dr. Suleiman Mohamed bagi Zon Datuk Keramat.

Seniman kelahiran Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak ini meninggalkan kenangan indah perkahwinan dengan isteri tercinta, Jaharah Sohor. Begitu juga kasih sayang terhadap putera puterinya Marliza, Marina, Marhaida, Marwizam dan Allahyarham Mohd. Hussein.

Bekas tentera British di Singapura pada 1955 hingga 1957 ini mula aktif dalam dunia drama dan filem pada tahun 1964 selepas menjadi buruh di Majlis Bandaran Ipoh dan guru sementara pada pertengahan 50-an.

Allahyarham pernah muncul dalam beberapa filem termasuklah Ranjau Sepanjang Jalan (1983), Dendam Dari Pusara (1983), Cikgu Sayang (1983), Ke Medan Jaya (1983), Puteri (1987), Memori (1992), Badai Mentera (1996) dan Raja Melewar (1997).

Drama yang menampilkan beliau sebagai pelakon termasuklah Tok Perak, Salem dan Afsan, Tangan, Kaduk, Wali dan Tonel Badut, Raja Laksamana Bentan dan Niat Si Ayah.

Di dalam politik Allahyarham pernah menjawat beberapa jawatan sejak 1974 termasuklah setiausaha, cawangan (10 tahun) dan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Titiwangsa dan Ketua UMNO Cawangan Pasar Datuk Keramat. Pada 1990-1991 pernah menjadi Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Titiwangsa dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Titiwangsa (1993).

Seniman ini juga aktif dalam Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan pernah menjadi penolong setiausaha (1993). Allahyarham dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 1993 dan PPM pada 1967.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz4dMPbeFqo
© Utusan Melayu (M) Bhdsumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan