Selasa, 4 April 2017

Mohd. Anwar dilantik Panglima TLDM yang baru



ARKIB : 13/08/2003
 KUALA LUMPUR 12 Ogos - Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Mohd. Anwar Mohd. Nor hari ini dinaikkan pangkat sebagai Panglima TLDM yang baru.

Beliau menggantikan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd. Ramly Abu Bakar yang akan bersara mulai esok.

Serentak dengan itu, Mohd. Anwar dinaikkan pangkat kepada Laksamana yang akan berkuat kuasa esok.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas di antara Mohd. Anwar dan Mohd. Ramly diadakan di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, berikutan pelantikan itu, beberapa jawatan utama TLDM akan mengalami perubahan.

Jawatan Timbalan Panglima Tentera Laut yang dikosongkan oleh Mohd. Anwar akan diisi oleh Panglima Armada TLDM, Laksamana Madya Datul Ilyas Din.

Jawatan Ilyas pula akan diisi oleh Laksamana Muda Datuk Ramlan Mohammed Ali yang kini menyandang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi dan Latihan Markas Angkatan Tentera.

Kekosongan jawatan yang disandang oleh Ramlan pula akan diganti oleh Laksamana Pertama Datuk Mat Radi Abu Samah.

Semua pelantikan itu akan berkuat kuasa esok.

Menurut jurucakap itu lagi, kecuali jawatan Timbalan Panglima Tentera Laut, semua pelantikan itu melibatkan kenaikan pangkat.

Dalam pada itu, Mohd. Anwar yang dilahirkan pada 12 Mac 1950 di Alor Gajah Melaka menyertai TLDM apabila mengikuti kursus Pegawai Kadet di BRNS Dartsmouth England pada tahun 1969.

Beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 1 September 1971 dan memulakan kerjaya bersama TLDM sebagai Pegawai Navigasi KD Jerai.

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Mohd. Anwar ialah Pengawal Laksana KD Pendekar, KD Kerambit, KD Handalan dan KD Hang Tuah.

Selain itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan seperti Pegawai Staf 3 Anggota A di Markas Tentera Laut (MTL) dan Pegawai Staf 1 Inspektorat Jeneral di MTL.

Mohd. Anwar yang dinaikkan pangkat Kapten pada 1 Januari 1990 dan dilantik sebagai Pegawai Memerintah KD Pelandok, pernah menjadi Juruiring kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang kesembilan dan ke-10.

Selain itu, beliau juga merupakan pegawai kanan pertama TLDM yang dilantik sebagai Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT)

Pada 13 Ogos 2002, beliau dinaikkan pangkat Laksamana Madya dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut.

Mohd Anwar turut cemerlang dalam bidang sukan apabila terpilih mewakili pasukan hoki negara pada Sukan SEAP dan Sukan Asia di Tehran pada tahun 1974.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm#ixzz4dGw1cYkz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan