Jumaat, 28 April 2017

Menjejak komunis - Ismail berendam dua hari dalam paya

ARKIB : 04/09/2004
BAHUN 1957 merupakan tahun keramat buat negara. Tahun itu, sejarah terukir apabila negara diisytiharkan merdeka iaitu pada tanggal 31 Ogos. Tahun tersebut juga berlaku peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Ismail @ Abdullah Wahab, 67, sepanjang perkhidmatannya dalam pasukan tentera British.
Ketika itu, beliau ditempatkan di Singapura yang pada masa itu masih di bawah jajahan Persekutuan Tanah Melayu.
Pada suatu pagi, tentera British menerima maklumat perisikan di mana tujuh anggota komunis dilihat memasuki hutan dari arah pekan Simpang Renggam, Johor.
Anggota-anggota komunis itu dipercayai membawa bekalan untuk rakan-rakan mereka di dalam hutan.
Pasukan meriam tentera telah membedil ke arah kawasan berkenaan bagi menghalang pergerakan mereka.
Pasukan Ismail diarah mengepung kawasan tersebut bagi mengelak anggota-anggota komunis tersebut melepaskan diri.
Pasukannya yang menaiki tiga buah trak terus menuju ke Sekolah Simpang Renggam yang dijadikan markas sementara untuk operasi berkenaan.
Turut bersama mereka adalah sepasukan tentera Gurkha.
Ketika sampai di sekolah tersebut, mereka meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki.
``Kami terpaksa berjalan kaki bagi mengelak komunis mengetahui akan kedatangan pasukan tentera.
``Kalau kami teruskan juga perjalanan dengan trak pastinya deruman enjinnya dapat didengar oleh komunis,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Seri Kundang, Kuang, Selangor, baru-baru ini.
Setelah berjalan kaki sejauh lima kilometer, Ismail dan rakan-rakan sepasukan terus mengepung kawasan berkenaan sementara tentera Gurkha cuba menjejaki komunis.
Ismail dan rakan-rakannya berpecah dan mengambil kedudukan masing-masing.
Jarak di antara setiap anggota adalah kira-kira tiga meter.
Nasib Ismail tidak baik. Beliau mendapat tempat berhampiran paya. Beliau terpaksa meniarap di atas tanah sambil mengacu senjata dengan hampir separuh badannya berendam di dalam paya.
Ismail berkeadaan demikian selama dua hari, dua malam. Beliau dan rakan-rakan sepasukan tidak boleh bergerak ke mana-mana apatah lagi untuk tidur.
Mereka perlu menunggu dengan penuh waspada kerana komunis boleh muncul di hadapan mereka pada bila-bila masa.
Sepanjang dua hari itu juga, mereka hanya makan biskut yang dibawa dalam beg galas masing-masing.
Walaupun merasai keletihan yang teramat sangat, demi tugas, terpaksa juga beliau gagahkan diri walaupun badan sudah tidak bermaya.
``Nak buang air pun kena pandai-pandai cari posisi yang sesuai.
``Nyamuk jangan cerita, cukup banyak, lenguh tangan saya menampar muka, itu pun tak boleh kuat kerana takut komunis dengar,'' katanya lagi.
Setelah 48 jam menunggu dan menjejak, anggota-anggota komunis itu tidak juga dapat dikesan.
Mungkin mereka telah mati dibom oleh pasukan meriam.
Kesemua mereka kemudiannya diarah pulang ke kem.
Terdapat beberapa lagi insiden yang dilaluinya sepanjang 15 tahun berkhidmat dalam tentera British.
Antaranya adalah rusuhan pekerja-pekerja syarikat Hock Lee Bus pada tahun 1956 di mana para pekerja bertindak membakar bas dan merosakkan peralatan pejabat akibat tidak berpuas hati dengan layanan pihak pengurusannya.
Insiden lain adalah rusuhan kaum yang tercetus semasa perarakan Maulidur Rasul pada tahun 1962 di mana banyak nyawa terkorban.
Satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakan beliau adalah semasa rusuhan di Sekolah Tinggi Chong Cheng pada tahun 1964.
Orang ramai telah bertindak ganas membakar kemudahan-kemudahan awam kerana menuntut sekolah tersebut dinaikkan taraf sebagai universiti.
Tindakan tersebut dipercayai akibat hasutan sebuah parti politik berfahaman komunis.
Kesemua peristiwa hitam tersebut berlaku di Singapura.
Namun beliau bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini terjadi ke atas dirinya.
Ismail memulakan kerjaya di dalam tentera British pada 6 Januari 1954 ketika berusia 16 tahun di Sekolah Pertukangan Tentera, Nee Soon, Singapura.
Pada Ogos 1956, beliau lulus Sijil Pendidikan Pertengahan dan diterima menjadi rekrut setahun kemudian.
Selepas tamat menjalani latihan rekrut, beliau bertugas sebagai jurutera perang berpangkat Prebet.
Tugas beliau banyak melibatkan kerja-kerja pembinaan seperti mendirikan jambatan, membina bangunan, membuat jalan dan memusnahkan kemudahan-kemudahan awam sekiranya diperlukan bertujuan melambatkan pergerakan musuh.
Tugasnya juga cukup merbahaya kerana beliau adalah antara orang yang pertama akan tiba di satu-satu lokasi peperangan untuk membina infrastruktur bagi pasukan tempur.
Pada bulan Januari 1959, Ismail dinaikkan pangkat Lans Koperal.
Disebabkan kerajinan, disiplin tinggi dan kemahiran yang semakin meningkat setelah menjalani beberapa kursus, beliau dinaikkan pangkat Koperal pada April 1964.
Anak kelahiran Kampung Masjid Tua, Johol, Negeri Sembilan ini bersara daripada tentera British pada 16 September 1971.
Beliau kini menjadi pegawai keselamatan di sebuah syarikat kewangan di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.
Walaupun sudah lama bersara, Ismail tetap aktif mencurahkan baktinya kepada penduduk setempat.
Antaranya menjadi Pengerusi Tetap UMNO di kawasan tempat tinggalnya.
Beliau juga menjadi pembantu bilal Masjid Nurul Yakin berhampiran rumahnya.
Paling menarik, Ismail yang hanya berpendidikan sekolah kampung di Sekolah Melayu Nuri, Johol sehingga darjah tujuh masih mampu mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) menerusi perantaraan bahasa Inggeris pada tahun 1975.
Beliau berjaya mendapat pangkat A sedangkan salah seorang anaknya yang turut mengambil peperiksaan yang sama di kampung tidak lulus.
Hasil perkahwinannya dengan Zainab Ibrahim, 60, beliau dikurniakan dua anak perempuan dan enam lelaki.
Salah seorang anak lelakinya turut mengikut jejak langkah beliau menjadi tentera dan kini bertugas di Kem Majidee, Johor Bahru, Johor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan