ARKIB : 29/08/2003
Wacana Islam
Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
Lusa, 31 Ogos, rakyat Malaysia
akan menyambut hari yang bersejarah, iaitu hari memperingati ulang tahun
kemerdekaan kali ke-46. Allah menciptakan umat manusia di seantero dunia ini
dengan bekal kemerdekaan dan kebebasan agar mereka menjadi umat yang bertakwa.
Iaitu satu umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan
mencegah yang mungkar.
Dalam konteks negara kita yang
sudah pun berusia 46 tahun banyak pencapaian dari segi material mahupun
spiritual yang telah dicapai. Di manakah rahsia daripada kekuatan kita ini?
Adakah pada senjata, roket atau kapal perang? Rahsia kekuatan ini tidak boleh
dikaji sekadar melihat kepada benda yang ada di depan kita. Tetapi ia harus
dilihat ke dalam batin, lihatlah ke dalam jiwa. Sesungguhnya kekuatan kita
ialah kepercayaan, kekuatan iman dan akidah kita. Kekuatan inilah yang
mempertahankan negara ini daripada segala bentuk ancaman yang boleh
memusnahkannya.
Di bawah pimpinan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia tetap kukuh setelah berjaya
keluar dari masalah besar yang melanda negara iaitu dari 1997 hingga 2000
terutama krisis kewangan di Asia yang menjatuhkan sejumlah pemimpin negara,
termasuk Suharto.
Dengan melewati ujian berat itu,
Dr. Mahathir telah melampaui Suharto dan pemimpin-pemimpin dunia lain yang
berlutut di bawah tekanan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Dr. Mahathir dengan
berani menolak tawaran itu, sebaliknya menjalankan kaedah ekonominya sendiri,
yang ternyata berjaya.
Rakyat Malaysia patut bersyukur
kepada Allah s.w.t kerana kita dapat menyelesaikan banyak masalah yang amat
serius khususnya yang berkaitan hubungan agama dan negara.
Banyak di kalangan negara Islam
cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan mengorbankan agama dan memilih
sekularisme (fahaman yang memisahkan agama dan negara), atau mengorbankan
kepentingan sebahagian anggota masyarakatnya yang majmuk ketika memilih salah
satu agama atau fahaman keagamaan dalam mengatur kehidupan berbangsa, bernegara
dan bermasyarakat.
Dalam konteks ini, negara seperti
Algeria pernah cuba menerapkan ajaran Islam secara keras dengan mengabaikan
pandangan anggota masyarakat lain, yang akhirnya meletakkan negara mereka
sentiasa berkonflik.
Malaysia sebagai sebuah negara
Islam memberi kedudukan yang penting bagi semua agama yang dianuti
masyarakatnya dan menuntut mereka sama-sama berperanan membangun bangsa dan
negara. Ini sesuai dengan peranan dan fungsi agama itu sendiri dalam sesebuah
negara iaitu melaksanakan urusan manusia bagi mencapai kesejahteraan hidup di
dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Kesedaran bahawa perlunya
penafsiran kembali warisan pemikiran Islam dalam rangka menghadapi zaman moden
telah berjaya membawa bangsa Malaysia maju dalam bidang ilmu dan teknologi
moden. Sikap umat Islam yang jumud - tunduk kepada tradisi, kebekuan idea dari
segi praktik dan amalan berjaya dilenturkan atau dirombak lingkaran
kejumudannya.
Melalui peranan para cendekiawan
agama, kita harus mampu memberi jalan keluar yang realistik terhadap masalah
yang timbul dalam masyarakat dan perselisihan mereka. Kerana, jika dilihat
tujuan kehadiran para nabi dengan kitab sucinya adalah bertujuan menegakkan
kesejahteraan hidup. Agama tidak boleh menjadi sumber perselisihan yang
mengakibatkan perpecahan atau penghalang pembangunan negara.
Melalui peranan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim), para ahli agama berjaya mematahkan secara bijaksana
rintangan-rintangan yang mengganggu kesinambungan dan kemajuan pembangunan,
khususnya yang bersifat idea dan pemikiran, seperti tahyul atau khurafat.
Agama akan lebih berperanan dalam
pembangunan apabila ahli agama dapat menemukan dari kitab suci, ajaran-ajaran sosial
dan interpretasinya dengan keperluan pembangunan, tanpa menyimpang daripada
teks dan jiwa ajaran agama. Kerana itu, ahli agama harus dapat menggali
nilai-nilai agama untuk menjadi landasan, pendorong dan pengarahan kepada
pembangunan nasional.
Agama dengan nilai-nilai
universal yang dikandungnya, harus dapat memajukan dan memperkukuh integriti,
persatuan dan kesatuan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum ini.
Tanpa berbuat apa-apa dalam
mengisi kemerdekaan ini, bererti kita telah berkhianat. Khianat kepada pejuang
kemerdekaan yang telah gugur dahulu daripada kita dan mengkhianati nikmat
Allah. Sedangkan Allah telah berfirman di dalam surah Ibrahim ayat 7 yang
bermaksud:
Sesungguhnya jika kamu bersyukur,
pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari
(nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.
- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah
Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4dITV0dor
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan