Jumaat, 28 April 2017

Hasanuddin - Diserang hendap pengganas komunis

ARKIB : 30/09/2004
SUASANA dalam hutan di perbatasan Malaysia-Thailand pada malam itu agak sepi. Biarpun dilihat tenang, namun sekumpulan pegawai dan anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) tetap bersemangat menja-lankan rondaan untuk memerangi habis-habisan pengganas komunis.
Bagi Hasanuddin Ismail, malam itu seperti juga malam-malam lain.
Beliau berasa amat rindukan ahli keluarganya di kampung halaman.
Jauh di sudut hati, fikirannya mula melayang mengenangkan nasib yang mungkin menimpa sekiranya tidak berhati-hati.
Ini kerana penyertaan dalam pasukan rondaan itu umpama menyerahkan nyawa di hujung senjata api.
Jam di tangan menunjukkan sudah masuk pukul 10 malam. Belum sempat Hasanuddin menoleh, tiba-tiba dentuman tembakan kuat berbunyi.
``Setiap anggota perlu berhati-hati dan diminta masuk ke dalam kubu!,'' perintah Ketua Platun, Inspektor Ali Hanafiah (kini Ketua Polis Perlis berpangkat Senior Asisten Komisioner I) dan sarjan yang mengemudi operasi.
``Mendengar perintah itu, saya dan rakan-rakan terus terjun masuk ke dalam kubu bagi mengelakkan diri ditembak pengganas komunis,'' kata Hasanuddin, 55, ketika menceritakan detik cemas sewaktu menyertai Ops Chaiyo bersama pasukan Polis Rondaan Sempadan Thailand sekitar tahun 1970-an.
Menurut beliau, serangan ke atas pasukan keselamatan merupakan rutin biasa bagi pengganas komunis terutama ketika bulan mengambang.
Katanya, kejadian berbalas tembak itu berlangsung selama beberapa minit dan menyebabkan ada antara anggota polis mula naik angin dan berhajat keluar menyerang kembali komunis.
``Perasaan saya ketika itu amat takut. Bukan apa, kerana pertama kali berdepan dengan komunis. Pun begitu, setelah memikir rasa tanggungjawab, saya tabahkan hati berhajat melawan komunis,'' katanya.
Biar begitu, nasib beliau dan rakan-rakan agak baik kerana pada waktu itu, seorang sarjan berpengalaman luas meminta mereka tidak mengambil tindakan terburu-buru dan menasihatkan bersembunyi dahulu dalam kubu.
``Setelah keadaan tenang, barulah kami keluar dari kubu,'' katanya.
Hasanuddin memberitahu, melihat semangat yang ada pada pasukan keselamatan, pengganas komunis kemudian beredar.
Bagaimanapun, katanya, komunis tidak pergi begitu sahaja sebaliknya meninggalkan satu surat yang dilekatkan pada pucuk nibung mengandungi pesanan dalam tulisan jawi ditujukan pada pasukan keselamatan.
``Masih saya ingat surat yang ditulis oleh Shamsiah Fakeh itu berbunyi:
``Anda semua diperbodohkan oleh Abdul Rahman dan Abdul Razak (Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak - bekas Perdana Menteri). Sila balik rumah. Yang bujang boleh ratapi ibu bapa. Yang kahwin boleh bermesra isteri dan anak-anak. Jangan pertaruhkan nyawa anda!''
Biar pun begitu, Hasanuddin berkata, surat berkenaan tidak berjaya melunturkan semangat anggota pasukan keselamatan.
``Malah, ia menaikkan lagi semangat kami berjuang habis-habisan mempertahankan kedaulatan negara,'' ujarnya yang kini berpangkat Cif Inspektor dan bertugas di Cawangan Pembantu Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Hasanuddin, anak kelahiran Kupang, Baling dan dibesarkan di Kampung Juaseh, Negeri Sembilan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai konstabel pada 8 Jun 1969.
Setelah menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, beliau ditugaskan sebagai anggota infantri di PPH Pengkalan Chepa, Kelantan.
Pada tahun 1979, Hasanuddin ditukarkan ke Pulapol sebagai Pelatih Undang-Undang (Pangkat Rendah).
Hasanuddin terus meniti kerjayanya apabila dinaikkan pangkat inspektor pada tahun 1986 dan diamanahkan bertugas di Jabatan Narkotik Bukit Aman selama 14 tahun.
Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (Bahagian Narkotik) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman.
Kali terakhir beliau ditukarkan ialah pada tahun 2000 iaitu ke jawatan sekarang.
Mengenai perkara yang menarik dalam PDRM, Hasanuddin berkata, beliau berasa amat berbesar hati melihat perkembangan positif PDRM sejak 36 tahun lalu.
``Masa mula-mula masuk saya rasa gaji adalah kecil iaitu RM115 sebulan tetapi kini kebajikan pegawai dan anggota semakin terjamin.
``Malah, PDRM juga memberikan rezeki kepada saya membesarkan anak-anak dan menjadi insan sempurna,'' katanya yang pernah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang PDRM 2002.
Hasil perkahwinan Hasanuddin dengan Fatimah Abd. Manaf, mereka dikurniakan anak iaitu Fairul Anuar, 27; Haslinda, 26 dan Fadzilnor, 23, yang kini berjaya dalam pelajaran dan karier masing-masing.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan