Jumaat, 28 April 2017

Abdullah - Sertai pasukan polis setelah abang dibunuh komunis

ARKIB : 09/09/2004
``Saya masih ingat arwah bapa, Simat Jaafar sebelum kematiannya di Mekah pada 1941. Dia sempat meninggalkan wasiat kepada ibu, arwah Busu Timah Ibrahim supaya menghantar saya ke sekolah agama untuk menjadi seorang tahfiz,'' kata Abdullah Simat ketika memulakan perbualan mengenai pengalamannya dalam pasukan polis.
Bagi memenuhi hasrat bapanya itu, ibunya memasukkan Abdullah yang ketika itu menuntut dalam darjah lima sekolah Melayu ke sebuah sekolah agama selain belajar pondok sambil berguru dengan Allahyarham Tuan Guru Lebai Hassan, seorang alim tersohor di Kampung Berhala Gantang.
Setelah tiga tahun menuntut ilmu agama di pondok tersebut, Abdullah dikejutkan dengan kejadian malang menimpa abangnya, Yaakub Simat yang merupakan seorang guru di Sekolah Melayu Bangau, Temerloh.
Abang Abdullah telah dilarikan pengganas komunis.
Penantiannya berakhir dengan khabar cukup memilukan apabila diberitahu abangnya yang lebih dikenali sebagai Cikgu Yaakub menjadi mangsa pembunuhan kejam pengganas komunis.
Tidak cukup dengan itu, Abdullah turut diundang tragedi kedua ekoran perbuatan tidak berperikemanusiaan komunis yang bertempur dengan penduduk Kampung Bintang menyebabkan seorang Penghulu di situ terbunuh.
Rentetan dua peristiwa hitam itu, hasrat Abdullah untuk memenuhi cita-cita orang tua menjadi ahli tahfiz mulai pudar sebaliknya terpanggil untuk bersama-sama mempertahankan tanah air dari terus menjadi mangsa komunis yang bermaharajalela.
Beliau sebaliknya menyertai pasukan polis sejurus dipelawa oleh Penolong Kanan Pegawai Polis Daerah Mentakab yang dikenali sebagai Encik Bakar, pada 1953.
Tugasan pertama Abdullah bermula di kem polis Padang Tengku, Kuala Lipis.
Tanggungjawab beliau ketika itu menjurus kepada operasi di balai sebelum bergerak ke hutan meliputi kawasan estet Seberang Jelai ke Kampung Lada Kering yang bersempadankan Lipis-Kelantan.
Operasi ketika itu turut merangkumi Cangga Perah, Kampung Gua dan Kampung Kechau di Lipis sebelum beliau ditukarkan ke Balai Polis Bentong pada 1954.
``Semasa di Bentong, pendek kata habis hutan di daerah ini saya jejaki termasuklah Sungai Pahang, Sungai Penjuring, Telemong, Sungai Dua hingga Karak,'' kata Abdullah yang kini berusia 67 tahun.
Tiga bulan pertama di Bentong, cabaran pertamanya berdepan dengan musuh bermula.
Abdullah bersama platun terdiri daripada 32 anggota bertempur dalam satu serang hendap ko-munis di Bukit Cinta Manis dekat Sungai Dua, Karak.
Namun sang musuh sempat meloloskan diri, yang tinggal cuma kesan titisan darah komunis akibat tembakan pasukan keselamatan.
``Ketika itu, saya masih ingat satu Orang Asli yang berperanan sebagai penunjuk arah telah duduk di atas sebatang pokok besar yang sudah tumbang.
``Tiba-tiba tempatnya duduk di bahagian atas batang pokok itu pecah terburai dan di dalamnya terdapat beras yang disorok komunis bersama 240 tin minyak tanah,'' katanya.
Sesudah 20 hari pulang semula ke balai Bentong, platunnya menerima laporan kejayaan Orang Asli di Sungai Chamang dekat sempadan Cameron Highlands memberkas seorang anggota komunis.
Malangnya ketika operasi membawa keluar kumpulan Orang Asli bersama seorang komunis itu, Abdullah yang waktu itu menggalas senjata brengun serta 12 kelopak peluru, terjatuh 60 kaki ke dalam sungai semasa meniti jambatan.
``Masa itu saya berada pada kedudukan orang keempat dan entah bagaimana nasib saya kurang baik lalu terjatuh ke bawah. Mujurlah tiada kecederaan dialami sambil dibantu rakan setugas,'' ujarnya.
Abdullah yang mempunyai sembilan anak daripada tiga perkahwinannya menceritakan, cabaran seterusnya dihadapi ketika platunnya yang ketika itu dipimpin Sarjan Buman, terperangkap dalam kepungan komunis ketika operasi di Sungai Bilut.
Semasa adegan tembak-menembak, Sarjan Buman yang mengeluarkan arahan kepada anggota dengan memekik `mara... mara', akhirnya tersungkur ke bumi akibat tangan kirinya terkena tembakan.
Penghujung tahun 1955, beliau kemudian diarah mengikuti operasi kepolisan di kawasan sekitar Kerayong, Kampung Aur, Kuala Rompin selain bertugas di Balai Polis Gambir dekat sempadan Johor-Pahang.
Dari situ, Abdullah ditukarkan pula ke Balai Polis Temerloh berhampiran Jambatan Temerloh yang kemudian dipecahkan kepada beberapa kumpulan operasi termasuk di unit wireless (sekarang dikenali walkie-talkie) di Bukit Senggara.
Menjelang detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Abdullah yang ketika itu bertugas di Maran diarah bertukar ke Ipoh.
Semasa di Perak, beliau tidak lekang mengikuti pelbagai operasi di pelosok hutan negeri itu meliputi Gunung Rapat, Gerik, Jeli, Kati seterusnya ke Kampung Benang Kering, Perak sehinggalah persaraannya pada 1962.
Abdullah mencelah, semasa berkhidmat di Balai Temerloh, beliau sekali lagi diuji oleh komunis.
Ketika itu dia menyertai tiga konvoi untuk ke Kuala Lumpur dalam misi membawa wang gaji kakitangan kerajaan.
Setiba di Batu 13, Bentong sejurus berhenti minum di Ketari dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, tiga konvoi berkenaan diserang hendap komunis menyebabkan ketuanya, Sarjan Othman terbunuh manakala seorang lagi anggota polis cedera parah.
``Sebenarnya kami di bahagikan kepada tiga konvoi dan saya sepatutnya menaiki konvoi bersama-sama Sarjan Othman tetapi pada saat akhir arwah Sarjan Othman mengarahkan saya mengikuti konvoi lain.
``Takdir di tangan Allah maha kuasa, saya tak tahu apa akan jadi kalau saya kekal dalam konvoi bersama Sarjan Othman, mungkin saya turut menjadi mangsa komunis,'' katanya yang juga bapa mertua kepada seniman terkenal, Datuk Jins Shamsuddin.
Selepas bersara awal iaitu kira-kira 10 tahun berkhidmat dalam polis, Abdullah pernah bekerja sebagai pegawai pengangkutan syarikat perlombongan di Bukit Iban, Rompin dan Bukit Besi, Terengganu.
Kini beliau yang ditemani isteri ketiga, Zainuayah Idris, 46, bersama seorang anak yang sedang gigih mendalami ilmu tahfiz, Mohd. Ali Hanafiah, bergantung hidup kepada hasil tanaman sayur dan menetap di Kampung Datuk Sharif Ahmad, Mukim Jenderak, Temerloh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan