Sabtu, 22 April 2017

Senoi Praaq - Pasukan digeruni komunis

ARKIB : 03/06/2004
Tidak ramai daripada kita yang mengetahui bahawa pasukan Senoi Praaq Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dianggotai daripada pelbagai suku Orang Asli yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Apa yang menarik, anggota Senoi Praaq mempunyai kemahiran yang tinggi mengesan musuh dalam hutan.
Dengan deria rasa, lihat dan dengar yang luar biasa, Senoi Praaq banyak membantu kerajaan membanteras pengganas komunis selain membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes-kes lain seperti mengesan orang hilang di hutan.
Menjadi pengesan jejak yang cekap sebenarnya bukanlah sesuatu asing kepada anggota Senoi Praaq kerana mereka sebenarnya telah mahir sejak kecil lagi.
Hakikat itu dijelaskan oleh tiga anggota Senoi Praaq yang kini sedang berkhidmat di Batalion 3 PGA di Bidor, Perak.
Koperal Ngah Jasin anak Alang, 50, ketika ditemui memberitahu, aktiviti berburu yang merupakan dunia sebenar Orang Asli telah menjadikan anggota Senoi Praaq pakar hutan sehingga dapat mengesan pergerakan manusia dengan mudah.
Beliau yang memasuki Senoi Praaq pada tahun 1967 berkata, kehidupan masa kecil banyak dihabiskan dalam hutan dan ia merupakan lesen untuk menjadi seorang pengesan jejak terbaik.
``Musuh memang bijak sewaktu mereka dalam hutan, sebab itulah khidmat anggota Senoi Praaq diperlukan untuk mengesan dan membunuh musuh,'' katanya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.
Berasal dari suku Temiar, Ngah Jasin berkata, penglibatan anak-anak Orang Asli dalam perburuan sejak usia muda menjadikan mereka lali dengan hutan.
Suami kepada surirumah, Ramlah Angkong dan ayah kepada sembilan anak itu menjelaskan, pengalaman masa kecil ternyata memberikan satu kelebihan kepadanya sewaktu bertugas dalam Senoi Praaq.
Ngah Jasin mendapat latihan asas di PGA Ulu Kinta pada tahun 1974 dan ketika ditempatkan di Pangkalan Hulu, tugas utamanya ialah mengawal perkampungan Orang Asli di kawasan sempadan daripada ancaman komunis.
``Bagi memastikan usaha mengesan musuh di hutan berjaya, beberapa faktor perlu diteliti dengan mata kasar dan antaranya ialah rupa bentuk persekitaran kita seperti tanah, batu dan pokok selain deria bau yang kuat,'' jelasnya.
Menurut Ngah Jasin, kedudukan batu di atas tanah akan berubah jika ada manusia melalui kawasan berkenaan manakala pokok-pokok yang tingginya di paras pinggang, pasti berlaku kerosakan jika dilalui manusia.
Tegasnya, lebih mudah lagi ialah melalui deria bau kerana musuh kebiasaannya membawa bekalan minyak sewaktu bergerak dalam hutan.
``Sarang labah-labah juga tidak boleh dilupakan kerana apabila ada kesan-kesan koyak, bermakna ada manusia atau haiwan melintasi kawasan tersebut,'' tambahnya.
Selain itu, Ngah Jasin menjelaskan jika daun-daun pokok terusik, ia juga mengesahkan kehadiran manusia atau haiwan di tempat itu.
Katanya, apa yang membezakan antara manusia dan haiwan ialah jika daun-daun pokok rosak secara lurus, ia adalah perbuatan manusia.
Tahun 1980 hingga 1983 mencatatkan sejarah bagi Ngah Jasin apabila terlibat dalam empat pertempuran dengan pengganas komunis di sempadan Malaysia-Thailand dan kemahirannya mengesan musuh telah dipergunakan sehingga pasukannya berjaya membunuh dan mencederakan beberapa pengganas komunis.
Atas jasa-jasanya menentang komunis, Ngah Jasin dianugerahkan Pingat Perajurit Taming Sari oleh Sultan Perak pada tahun 1986.
Bagi Lans Koperal Itam anak Uda, tugasnya sebagai pengesan jejak musuh di hutan bermula pada tahun 1978 selepas diarah bertugas di Kroh dan Sungai Siput di Perak.
Katanya, walaupun semua anggota Senoi Praaq mahir mengesan jejak musuh, dia telah ditugaskan sebagai ketua pengesan jejak iaitu berada di hadapan sekali sewaktu meronda dalam hutan.
``Saya adalah pengesan pertama iaitu mesti berada di hadapan sekali, gementar memang ada tetapi pengalaman dan latihan yang diberi saya dapat menghadapinya,'' jelas ayah kepada 11 orang anak itu.
Itam, 55, berkata, dia akan memberi isyarat-isyarat tertentu kepada rakan-rakan di belakang sama ada laluan itu selamat untuk mereka lalui atau sebaliknya.
Katanya, isyarat akan diterima oleh rakannya yang berpangkat Koperal yang kemudian menyalurkan kepada ketua platun sebelum arahan lanjut dikeluarkan.
``Isyarat-isyarat yang diberikan adalah berdasarkan pemeriksaan saya di tempat laluan sama ada ia telah dilalui oleh musuh atau masih terdapat musuh di kawasan berhampiran atau kawasan itu bersih daripada laluan musuh.
``Saya akan mengesan sesuatu yang ganjil di tempat yang akan kami lalui seperti bunyi burung dan monyet kerana haiwan ini akan memberi tanda wujudnya kehadiran manusia,'' jelasnya.
Menurutnya, keadaan tanah dan daun kering yang pecah dan berselerak juga menunjukkan tempat itu telah dilalui oleh manusia dan ia lebih jelas lagi apabila ranting-ranting kayu bertaburan di atas tanah.
Sepanjang perkhidmatannya, Itam pernah bertempur dengan komunis sebanyak dua kali pada tahun 1980 dan tugasnya sebagai pengesan jejak di barisan hadapan banyak membantu platunnya menjejak, membunuh dan mengusir musuh.
Lans Koperal Ad. Ahmad Kasup, 53, pula berkata, dia diterima masuk ke pasukan Senoi Praaq pada tahun 1978 dan bertugas sebagai peronda pejalan kaki sempadan di Pangkalan Hulu.
Katanya, dengan kemahiran yang ada, dia diberikan tugas mengawal dan mencegah musuh daripada memasuki jauh ke dalam wilayah Malaysia.
Menurut Ad. Ahmad, memang wujud perbezaan jika manusia melanggar ranting pokok, akar pokok dan sarang labah-labah di hutan berbanding haiwan dan perkara itu dipelajarinya sejak zaman kanak-kanak lagi.
``Berkat kemahiran yang ada, kami berjaya mengesan taktik musuh untuk mengelirukan kami dengan memakai kasut secara songsang iaitu bahagian depan dipusing ke belakang sewaktu berjalan.
``Taktik lain musuh ialah menggunakan strategi empat penjuru dalam hutan supaya mereka dapat mengesan kehadiran kami dengan mudah tetapi berkat ketabahan dan kemahiran yang ada, kami berjaya mengesan musuh lebih awal,'' tegasnya.
Antara pengalamannya berhadapan dengan musuh ialah pada tahun 1988 di Sungai Ruan, Raub, Pahang di mana enam anggota komunis menyerap masuk ke dalam rumah kongsi pekerja asing di ladang kelapa sawit.
Katanya, selepas beberapa hari membuat tinjauan, ternyata rumah kongsi itu dijadikan tempat mengambil bekalan makanan dengan menjadikan pekerja asing di situ sebagai mangsa ugutan.
``Pada 6 Mac 1988, saya dan rakan-rakan seramai 10 anggota menjejaki enam anggota komunis dan dengan kemahiran mengesan jejak, kami dapat membunuh seorang musuh dan mencederakan yang lain,'' jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan