ARKIB : 12/08/2004
Demikianlah dendam tak sudah, yang masih membara di hati bekas anggota polis, Som Awang, walaupun dia sedar pengaruh komunis sudah tiada lagi di negara ini.
Kemarahan Som terhadap komunis kembali membuak semasa mengimbas penglibatan beliau dalam memerangi gerombolan pengganas di hutan Sintok, kira-kira 50 tahun lalu.
Dendam dan marah Som mudah difahami dari tutur katanya pada majlis pengkisahan sejarah perjuangan menentang komunis sempena Hari Patriotik peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini..
Som, 78, bolehlah dianggap srikandi sejati kerana beliau adalah satu-satunya polis wanita (SC) yang turut memikul senjata bersama anggota polis lelaki mempertahan dan membebaskan bumi Sintok yang kini berdiri megahnya kampus UUM.
Beliau menyertai pasukan polis ketika berusia 23 tahun kerana mahu membalas dendam selepas suaminya, Konstabel Daud Awang, gugur dalam satu serang hendap komunis di Batu 15 Jalan Changlun-Sintok pada 1952.
Balai Polis Sintok yang kini tinggal tapak, menjadi saksi dan merupakan kubu terakhir Som dan rakan setugas mempertahankan Sintok dari 1952 hingga 1956.
Kekejaman pengganas komunis menaikkan semangat Som, apatah lagi setelah kenalan beliau iaitu isteri Ketua Balai Sintok, Taman Hussain terbunuh semasa cuba menyelamatkan diri apabila pengganas komunis menyerbu balai polis tersebut.
Suami Taman, Sarjan Hassan yang menjadi buruan pengganas bagaimanapun terselamat dalam serangan itu.
``Kadang-kadang mereka serang pada waktu Maghrib, tengah malam atau Subuh. Tengah ambil wuduk pun mereka serang... tiba-tiba saja telinga berdesing apabila ditembak pengganas komunis.
``Mujurlah di bawah balai dan kuarters kelamin ada kubu bawah tanah untuk merangkak dan bersembunyi,'' kata Som yang ketika itu mendapat upah RM73.39 sebulan sebagai anggota polis.
Ditanya berapa kali beliau bertempur dan berapa ramai pula anggota PKM yang dibunuhnya, Som pantas berkata: ``Saya tak kira cik ooi... nak kira berapa orang komunis kena bunuh ka... atau nak jaga keselamatan diri kita, pada masa tu tak ada masa nak kira''.
Bagaimanapun Som mengakui ada pengganas komunis berada di atas pokok yang jatuh setelah ditembak beliau atau terkena tembakan rakannya.
Menurut Som, ketika memburu pengganas komunis, beliau dan rakan setugas akan meredah kawasan hutan dan belukar di Sintok.
``Masalahnya ketika itu ramai pekerja lombong bijih dan penduduk bersekongkol atau menjadi tali barut komunis.
``Ada kalangan mereka yang turut membekalkan makanan kerana bimbang nyawa mereka diancam.
``Pada ketika itu ada komunis ini naik ke atas rumah penduduk kampung oleh kerana kelaparan, nasi sejuk pun mereka kebas,'' katanya disambut dengan gelak ketawa anggota Palapes yang berada pada majlis pengkisahan tersebut.
Som bagaimanapun bersyukur kerana Tuhan telah melindunginya walaupun beberapa kali bertempur dan ramai anggota pasukan keselamatan terkorban terkena peluru atau pun jerangkap samar.
Selepas operasi di Sintok diambil alih oleh tentera British yang menghantar askar Gurkha dan Rejimen Askar Melayu Diraja, Som kemudian bertugas di Balai Polis Jitra hingga bersara.
Beliau kini tinggal di Kampung Pulau Kecil, Tunjang di daerah Kubang Pasu dan bekerja sebagai tukang urut untuk menghabiskan sisa hidup yang masih ada.
Ketika dibawa melawat ke tempat berlakunya pertempuran menentang pengganas komunis di Sungai Badak dekat kampus UUM, hati Som tiba-tiba menjadi sayu dan pilu.
Beliau terkenang peristiwa kira-kira separuh abad lalu di mana ramai rakan seperjuangannya telah gugur di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan