Isnin, 24 April 2017

Ibrahim - Tinggalkan anak, isteri untuk bertempur dengan komunis

ARKIB : 05/08/2004
Suasana dalam hutan ketika itu senyap sunyi. Pasukan Polis Hutan (PPH) Platun 16, D Kompeni, Batalion 9 itu telah diberi tanggungjawab menentang habis-habis pengganas komunis di kawasan tersebut.
Memang kawasan operasi yang bersempadankan Kedah-Thailand itu terkenal dengan tempat kegiatan pengganas komunis.
Malah, berita sebelum ini memaklumkan terdapat anggota polis yang maut atau parah disebabkan terpijak jerangkap samar atau diserang hendap.
Bagi Ketua Platun 16, Inspektor Ibrahim Hashim, beliau perlu memikul tanggungjawabnya walaupun ia satu tugas yang amat berat.
Keselamatan setiap anggotanya perlu dipastikan selamat sepanjang masa.
Ketika pasukan diketuai Ibrahim bergerak dalam hutan, keadaan menghairankan kerana tiada bunyi unggas atau haiwan.
Peluh sejuk pada diri setiap anggota polis ketika itu memang tidak dapat dielakkan.
Bagi mereka, nyawa ketika itu berada dihujung senjata api. Apa juga boleh berlaku sama ada polis menyerang komunis atau sebaliknya.
Keadaan ketika itu memang membimbangkan, namun Ibrahim terus memujuk hatinya dengan berkata bahawa tiada kejadian buruk akan berlaku pada pasukan polis kerana mereka berada di pihak yang benar.
Semua pergerakan mereka dilakukan dengan teliti. Jika silap langkah, mereka pasti akan menjadi mangsa jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis.
``Setiap anggota perlu berhati-hati. Jangan cepat melatah apabila berlaku sesuatu.
``Biar pergerakan kita lambat, asalkan kita selamat. Jangan lupa, setiap langkah, kita harus mengenal pasti tempat-tempat perlindungan seperti pokok dan sebagainya. Ini penting terutama apabila kita diserang,'' nasihat Ibrahim kepada anggota-anggota platunnya.
Jika mereka silap langkah dan membuat bising, pasti pasukan polis akan diserang hendap.
Mata anggota-anggota Platun 16, D Kompeni itu terus memandang kiri kanan dan atas bawah.
Mereka tidak boleh banyak bercakap, kecuali perkara-perkara yang perlu sahaja.
Telinga mereka terus mendengar setiap pergerakan di hutan itu.
Ketika itu, mereka hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja yang menjadi penghubung antara mereka.
Setelah dua jam meredah hutan, tiba-tiba pasukan yang diketuai oleh Ibrahim itu bertembung secara berdepan dengan pengganas komunis.
Apa lagi, kedua-dua belah pihak terus berbalas tembakan.
``Keadaan berbalas tembak itu mengambil masa beberapa minit, sebelum pengganas komunis berundur dan melarikan diri,'' kata Ibrahim, 55, yang kini menjawat jawatan Ketua Cawangan Pembantu, Bukit Aman dengan pangkat Supritendan.
Menurutnya, pasukan polis kemudian memeriksa kawasan sekitar dan menemui beberapa kesan darah.
Polis pasti bahawa ada beberapa pengganas komunis yang parah tetapi mereka telah dilarikan supaya mayat tidak ditemui.
``Setelah diperiksa keadaan anggota polis sendiri, tiada yang cedera. Namun, terdapat beberapa anggota muda dan baru yang tergamam dan ketakutan ekoran pertempuran itu.
``Menjadi tugas saya, sarjan dan koperal untuk memulihkan semangat mereka. Mereka perlu ditenangkan.
``Namun, semangat juang tetap ada pada anggota-anggota baru itu,'' katanya yang dilahirkan di Labu Besar, Kulim, Kedah.
Ibrahim berkata, pengalaman bertempur dengan pengganas komunis bukan sekali, sebaliknya pasukan beliau telah alami sebanyak tiga kali pertempuran.
Apa yang menarik, dari ketiga-tiga pertempuran itu, tiada anggota pasukannya yang maut atau cedera.
Sebaliknya, beberapa pengganas komunis dipercayai parah atau maut berdasarkan kesan darah yang ditemui.
Pada masa yang sama, ada juga pasukan polis lain turut bertugas di sempadan mengalami nasib kurang baik disebabkan mereka diserang hendap, menyebabkan ada yang cedera atau maut.
``Bukan saya hendak berbangga dengan pasukan saya tetapi itulah hakikatnya. Tiada anggota kami yang cedera atau maut.
``Semuanya berkat kerjasama setiap anggota dan mereka juga mematuhi setiap arahan.
``Saya juga mendapat bantuan dari sarjan dan koperal yang berpengalaman,'' katanya.
Ibrahim berkata, beliau memulakan karier dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jun 1969 dengan menyertai latihan inspektor di Maktab Polis Kuala Kubu Baharu.
Sebaik selesai menjalani latihan, beliau terus menjalani latihan PPH di Ulu Kinta, Perak, sebelum ditugaskan sebagai Ketua Platun 16 di Bakri, Muar.
Selama 17 tahun, Ibrahim menimba pengelaman dalam PPH yang kini ditukar namanya kepada Pasukan Gerakan Am (PGA).
Selain PPH, Ibrahim juga pernah ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Port Dickson dan kini di Bukit Aman.
Ketika berada di Johor, beliau telah bertemu jodoh dengan Fuziah Abdullah, 52 dan kini mereka mempunyai empat orang anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki.
Sebagai anggota PPH, tugasan Ibrahim lebih banyak tertumpu di kawasan-kawasan kritikal di sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau sering berada di kawasan operasi hingga berbulan-bulan lamanya dan terpaksa berjauhan dari anak-anak dan isteri.
Selain itu, Ibrahim juga turut terbabit dalam operasi di Sabah dan Sarawak.
Mengimbas kembali pengalamannya dalam PPH, Ibrahim berkata, apabila dia pulang ke rumah, apa yang menyedihkan ialah anak-anaknya yang ketika itu masih kecil seolah-olah tidak mengenalinya.
``Namun, saya pujuk hati ini. Saya faham mereka masih kanak-kanak lagi. Maklumlah, apabila lama tidak berjumpa kerana mengikut operasi hingga berbulan-bulan, anak-anak mungkin tidak kenal.
``Tapi sebelum pulang, saya akan belikan mainan dan hadiah untuk memujuk mereka.
``Apabila mereka dapat dipujuk, barulah hati saya lega dan gembira.
``Tetapi tak lama kemudian, saya terpaksa berjauhan semula kerana mengikut operasi. Itulah hidup saya sepanjang 17 tahun dalam PPH,'' katanya mengenang kembali pengalamannya dalam PPH.
Bagi Ibrahim, walaupun beliau sering berjauhan dengan anak-anak ketika itu, namun hatinya puas dan gembira dengan negara dapat dipertahankan dari anasir subversif.
``Mungkin orang lain boleh tidur lena. Tapi bagi saya, selagi negara belum aman sepenuhnya, selagi itu tugas sedia menanti saya,'' katanya berbangga.
Menjawab pertanyaan, Ibrahim berkata, walaupun beliau tidak lagi berada dalam PPH, namun aktiviti riadah, rekreasi dan lasak tetap menjadi kegemarannya.
Malah, beliau bersama ahli keluarganya setiap tahun akan mengambil cuti untuk mengikuti aktiviti lasak seperti mendaki gunung, gua dan meredah hutan.
``Ia bukan sahaja menjadi kegemaran saya, malah sebagai latihan untuk diri saya supaya sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk membantu pasukan dan mempertahankan negara,'' katanya.
Di samping itu, Ibrahim juga telah menjalani beberapa kursus termasuk di Arizona, Amerika Syarikat pada 1989.
Dalam kursus selama tiga minggu itu Ibrahim diajar cara-cara pemanduan yang laju tetapi selamat.
``Saya diajar untuk memandu dengan kelajuan lebih 200 kilometer sejam,'' katanya.
Jasa-jasa yang dicurahkan oleh Ibrahim kepada PDRM dan negara tidak sia-sia apabila beliau dianugerahkan pelbagai pingat termasuk Ahli Mangku Negara, Kesatria Mangku Negara dan Pingat Pahlawan Pasukan Polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan