Selasa, 4 April 2017

Pembangkit semangat nasionalis di Malaya



ARKIB : 28/08/2003

Sehari Sebuah Buku
Judul: Syeikh Tahir Jalaluddin
Editor: Sohaimi Abdul Aziz
Penerbit: Penerbit Universiti Sains Malaysia
Tahun: 2003
PADA zaman penjajahan, mulai 1511 hingga 1957 negara kita dibendung dengan pelbagai kongkongan, antaranya amalan khurafat, tahayul, bidaah dan belenggu pemikiran kolonial. Penjajah telah berjaya mempengaruhi mental dan pemikiran pribumi.

Pengaruh ke atas hampir seluruh jalur kehidupan tempatan amat kental dan berlarutan. Atribut negatif yang ada pada rakyat Malaya ketika itu tidak menyenangkan kaum intelek yang muncul pada era awal abad ke-20. Kaum intelek mahukan perubahan demi kebaikan bangsanya. Mereka mahu membebaskan pribumi daripada kongkongan yang menyempitkan itu.

Salah seorang tokoh pemikir Islam yang muncul pada zaman sebelum merdeka ialah Syeikh Tahir Jalaluddin. Meskipun dilahirkan di Sumatera tetapi hampir seluruh perjuangannya bertapak di Tanah Melayu. Sebahagian besar idea pembaharuannya diperoleh daripada tokoh reformasi terkenal seperti Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh.

Sebagaimana dengan keadaan di Asia Barat, alam Melayu turut merasai tempias gagasan islah dan salah seorang yang menjadi pelopor penyebaran idea islah itu ialah Syeikh Tahir yang menjadi subjek buku ini.

Apabila kita membaca buku ini maka kita akan mendapati penglibatan Syeikh Tahir dengan lebih terperinci, bagaimana beliau menggunakan ilmunya untuk membangkitkan semangat kebebasan rakyat Malaya daripada pelbagai belenggu.

Bukan mudah untuk menghakis lapisan-lapisan belenggu itu kerana ia telah mengikat orang Melayu untuk sekian lamanya. Namun apabila `belakang parang jika diasah boleh ditajamkan' maka sedikit sebanyak kesedaran orang Melayu akan masa depan mereka yang berdepan dengan kuasa penindas dapat diperlihatkan. Ñ Ramli Abdul Samad

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm#ixzz4dIQBw1fm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan