Sabtu, 8 April 2017

Bunuh pengganas - Sewaktu terperangkap dalam kawasan musuh



ARKIB : 18/10/2003

Oleh HASHNAN ABDULLAH

TERPERANGKAP dalam kawasan musuh ditambah pula kekurangan pengalaman perang dalam hutan bukanlah insiden yang ingin dilalui oleh mana-mana anggota tentera, khususnya ketika bertugas mengawasi kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Timur Barat dalam tahun 1970-an.

Apa tidaknya, walaupun perintah darurat ditamatkan pada tahun 1960, kekuasaan pengganas komunis di dalam hutan seluruh negara, khususnya di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun-tahun itu tetap ada.

Ia ditambah pula, pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) bukan hanya mempunyai kemahiran bergerak dalam hutan tetapi dilengkapi dengan senjata moden dan strategi peperangan gerila yang tidak kurang hebatnya.

Bagaimanapun, bagi bekas Pegawai Waran I, Ielias Ibrahim, 47, arahan untuk bertugas di kawasan hitam itu tidak pernah melemahkan semangatnya.

Sebaliknya, tugas tersebut dijadikan perangsang untuknya menghancurkan pengganas komunis memandangkan musuh dikatakan banyak berada di kawasan hutan sekitar laluan lebuh raya tersebut.

Sebelum ditugaskan di situ, Ielias hanya merupakan anggota sukarela Rejimen Askar Wataniah.

Pada 27 Disember 1976 iaitu ketika berusia 20 tahun tahun, barulah beliau diserapkan sebagai anggota kerahan pasukan tersebut dengan tugasan pertama melakukan sekatan dan pemeriksaan jalan raya (RCP) di Jalan Lintang, Sungai Siput Utara.

Selepas empat bulan, beliau dihantar bertugas di Gerik, untuk menjaga keselamatan para pekerja dan peralatan pembinaan di Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik dengan Jeli di Kelantan.

Ketika itu Ielias ditempatkan di Platun 19 Kompeni D, Batalion 11 Infantri Rejimen Askar Wataniah dan ditugaskan menjaga Pos Lapan di Batu 39, kira-kira empat jam perjalanan dari pekan Gerik.

``Masa itu saya masuk tentera atas dasar ingin berkhidmat kepada negara dan sebab itulah saya tidak kisah bertugas di sana walaupun gajinya waktu itu agak kecil.

``Apa yang penting ialah kejayaan membunuh komunis. Ia adalah satu kepuasan untuk saya,'' katanya ketika ditemui di rumah, Ipoh, baru-baru ini.

Sewaktu ditugaskan di situ, antara tugas rutinnya ialah mengambil bekalan makanan dan apa jua bahan untuk pasukannya selang 10 hari di Pos Lima yang terletak tidak jauh dari pekan Gerik.

Selain itu, beliau turut ditugaskan mengawal dan mengawasi jentera serta pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sedang membina Lebuh Raya Timur Barat.

``Walaupun tugas tersebut agak membosankan tetapi apa boleh buat kerana kami adalah Askar Wataniah yang ketika itu dianggap sebagai askar kelas kedua,'' katanya yang kini menjalankan perniagaan sendiri.

Namun di sebalik kebosanan itu, tugas rutin itulah yang menyebabkan beliau terperangkap dalam kawasan musuh lebih tujuh jam.

Kejadian tersebut berlaku pada 15 Ogos 1977 iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Ketika itu, beliau bersama empat rakan yang lain yang diketuai oleh Lans Koperal Ahmad Zaki telah diserang hendap pada kira-kira pukul 9 pagi oleh lebih kurang 30 pengganas komunis semasa dalam perjalanan mengambil bekalan di Pos Lima.

Serang hendap yang dilancarkan oleh musuh dari atas sebuah bukit itu telah menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke arah bawah bukit memandangkan kedudukan laluan mereka langsung tiada tempat untuk berlindung.

Sewaktu mencari tempat perlindungan, rakannya Prebet Tajudin dan Prebet Abdul Halim telah cedera parah terkena tembakan musuh dan Ielias sendiri melihat bagaimana Abdul Halim terkena tembakan.

Dalam pertempuran itu juga, berbagai helah dilakukan oleh mereka untuk menyelamatkan diri termasuk mematikan diri di hadapan musuh yang ramai di samping melepaskan tembakan apabila perlu.

Membunuh

Dan dari taktik tersebut serta kepintarannya memperdayakan musuh jugalah maka Ielias berjaya membunuh seramai tiga orang musuh dengan hanya menggunakan lima butir peluru daripada senjata SLR yang dibawanya.

Waktu itu, tempat persembunyian beliau adalah paling hampir dengan kedudukan musuh, namun dengan kedudukannya yang agak strategik dan terlindung telah menyebabkan musuh sukar untuk merapatinya.

``Di saat itu, rasa takut, bimbang dan cemas tetap ada dalam diri saya

``Apatah lagi, ketika itu saya hanya dibekalkan dengan senjata SLR sedangkan musuh rata-ratanya memiliki senjata M16 dan bom tangan.

``Ketika itu juga mata sebelah kanan saya cedera ekoran terkena ranting kayu ketika mengelongsor apabila komunis menyerang hendap kami sehingga menyebabkan pandangan di sebelah mata itu agak kabur,'' ujar beliau.

Ielias berkata, kecederaan tersebut menyebabkannya sukar untuk menetapkan sasaran dengan betul sebelum menembak musuh yang menghampiri tempat persembunyiannya.

Tetapi, berkat kegigihan dan kesungguhannya mempelajari cara menembak dengan betul semasa dalam latihan sebelum ini banyak membantunya.

``Oleh kerana, tempat persembunyian saya itu cukup strategik, maka setiap kali bunyi tembakan dari senjata saya, mereka gagal mengesan dari mana puncanya.

``Tetapi bak kata orang-orang tua, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah jua dan samalah dengan saya apabila tempat persembunyian saya akhirnya berjaya dikesan oleh musuh,'' katanya.

Bagaimanapun, Ielias bersyukur kepada Allah kerana walaupun penat dan kelaparan setelah hampir tujuh jam terperangkap dalam kawasan musuh, fikirannya masih mampu memberi idea untuk mengelakkan diri daripada ditembak oleh musuh.

``Saya memang terkejut apabila musuh terakhir yang saya bunuh nampak saya terlebih dahulu, tetapi syukur masa itu muncul idea untuk pura-pura mati dalam keadaan mata terbeliak.

``Nasib baik musuh saya itu percaya dengan lakonan tersebut sebelum saya melepaskan dua das tembakan yang salah satunya terkena pada bahagian pinggangnya,'' katanya.

Bagi Ielias, pengalaman berdepan dengan pengganas komunis bukan sekadar kejayaan untuk dirinya tetapi turut mengangkat martabat Askar Wataniah yang sebelum ini dianggap sebagai askar kelas dua.

Malah katanya, kehebatan senjata dan juga pengalaman perang yang dimiliki oleh seseorang anggota tentera bukanlah jaminan bahawa mereka akan selamat jika menempuh pengalaman seperti yang dialaminya.

``Apa yang penting ialah sejauh mana kita boleh mengawal perasaan dan juga kewarasan otak ketika berdepan situasi genting tersebut,'' kata beliau sambil memberitahu mereka hanya diselamatkan pada kira-kira pukul 4 petang hari itu selepas pasukan bantuan tiba.

Kehadiran pasukan tersebut telah menyebabkan pengganas komunis yang melancarkan serang hendap itu berundur.

Selepas itu, barulah Ielias mendapat tahu bahawa dalam serangan tersebut dua rakannya iaitu Tajudin dan Prebet Md. Ali telah gugur selepas terkena tembakan musuh.

Bagaimanapun, dendam di atas kematian rakannya itu sedikit terbalas apabila Ielias berjaya membunuh tiga orang musuh seorang diri.

Ekoran kejayaan tersebut serta keberanian luar biasa yang ditunjukkannya, maka beliau yang ketika itu berpangkat Prebet telah dikurniakan pingat Pahlawan Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 29 Ogos 1977.

Pengurniaan itu mencatat sejarah tersendiri buat Ielias dan Angkatan Tentera Malaysia kerana beliau menjadi Askar Wataniah tunggal yang menerima pingat keberanian tersebut sehingga kini.

Pada 12 Disember 1977, Sultan Perak, Sultan Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah telah berkenan menganugerahkan beliau dengan Pingat Keberanian Handalan (PKH)

Kemudian pada 1 November 1979 beliau telah diserapkan sebagai anggota tetap di Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja dengan nombor 1028934.

Anak kepada seorang bidan kerajaan di Hilir Perak ini bersara pada tahun 1998 dalam Rejimen Renjer Diraja dengan jawatan terakhirnya sebagai Sarjan Mejar Rejimen Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Sains Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_02.htm#ixzz4ddssrf7p
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan