ARKIB : 09/08/2003
KONFRONTASI Malaysia-Indonesia
yang tercetus pada awal tahun 1960-an telah menyebabkan kerajaan merasakan
perlu diwujudkan sebuah pasukan khas bagi mempertahankan negara.
Justeru, pada tahun 1965, Menteri
Pertahanan ketika iu, Tun Abdul Razak Datuk Hussein telah mengarahkan penubuhan
sebuah Pasukan Petugas sebagai percubaan.
Ekoran itu juga, Kementerian
Pertahanan telah mengeluarkan arahan kepada para sukarelawan supaya tampil
untuk mempelopori penubuhan pasukan tersebut.
Hasilnya, seramai 300 orang
daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia telah
menyahut cabaran tersebut. Daripada jumlah itu, hanya 15 orang terdiri daripada
lima pegawai dam 10 anggota sahaja yang berjaya melepasi ujian pemilihan yang
ketat.
Mereka kemudiannya menjalani
kursus asas komando di Kem Majidee, Johor Bahru mulai bulan Februari 1965 di
bawah kelolaan 40 Komando British Diraja di bawah arahan Mejar Bacon.
Latihan keras dan lasak itu telah
berlangsung selama enam minggu. Di akhir latihan, hanya empat pegawai dan lapan
lain-lain pangkat (LLP) berjaya menamatkan latihan itu dan dipakaikan beret
hijau komando.
Mereka ialah Mejar Abu Hassan
Ab-dullah, Leftenan Mohd. Ramli Ismail, Leftenan Muda Ghazali Ibrahim dan Leftenan
Muda Hussin Awang Senik.
Anggota LLP pula terdiri daripada
Sarjan Ariffin Mohamad, Sarjan Annuar Talib, Sarjan Zakaria Abas, Sarjan Yahya
Darus, Koperal Silva Dorai, Koperal Moo Kee Fah, Lans Koperal Johari Mohd.
Sirat dan Lans Koperal Sabri Ahmad.
Kejayaan mereka menamatkan
latihan telah membolehkan Pasukan Gerak Khas Malaysia (PGKM) ditubuhkan secara
rasmi.
Malah kejayaan itu, tanpa diduga
telah menyedarkan pihak British bahawa anak-anak watan negara ini mampu memikul
apa sahaja tugas dan peranan berat setanding dengan kebolehan tentera mereka.
Disebabkan sambutan hangat juga,
sebanyak enam kursus asas komando telah berjaya dijalankan sepanjang tahun 1965
dan pada penghujung tahun itu, jumlah anggotanya telah mencapai 70 peratus.
Pegawai Pemerintah PGKM yang pertama ialah Mejar Abu Hassan Abdullah manakala
Pegawai Waran II Ariffin Mohamad sebagai Sarjan Mejar Skuadron.
Bagi memantapkan lagi taraf
profesionalisme unit tersebut, beberapa pegawai dan anggotanya telah dihantar
ke luar negara untuk menghadiri kursus-kursus kepakaran seperti `rigger', pandu
arah udara, kursus pasukan khusus, kursus khas perairan dan renjer.
Kejayaan mereka menamatkan
kursus-kursus tersebut telah menyakinkan lagi kerajaan bahawa mereka telah
boleh diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan tugas-tugas komando de-ngan
baik terutama dalam menentang Tentera Indonesia dan melawan insurgensi.
Bagaimanapun, sebaik konfrontasi
berakhir timbul perdebatan sama ada PGKM perlu dikekalkan atau tidak
memandangkan peperangan melawan insurgensi bukanlah tugas utama pasukan ini.
Namun, selepas menyaksikan
kejayaan terup PGKM menumpas dan melumpuhkan kegiatan Tentera Nasional
Kalimantan Utara (TNKU) di Sarawak dan keberkesanan mereka dalam operasi di
bandar sewaktu tragedi rusuhan berdarah 13 Mei 1969 telah menyebabkan kerajaan
membuat keputusan mengekalkan pasukan ini dan menaikkan tarafnya menjadi sebuah
rejimen.
Untuk menampung penambahan
elemen-elemen baru dalam PGKM, pasukan itu telah dipindahkan dari Kem Majidee
ke Kem Segenting Port Dickson (1968) dan kemudian ke Kem Sungai Udang, Melaka
(1969). Di sinilah pada 1 Ogos 1969 Rejimen Pertama Gerak Khas Malaysia (1 RGK)
tertubuh secara rasmi.
Untuk itu juga, Leftenan Kolonel
Borhan Ahmad telah dilantik sebagai Pegawai Memerintah pertama 1 RGK seterusnya
menerajui pembesaran Gerak Khas.
Sejajar dengan Rancangan Malaysia
Ketiga dan proses pembesaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebuah Pusat
Latihan Peperangan Khas (PLPK) telah ditubuhkan pada 1 Ogos 1976.
Penubuhan pusat itu yang kini
dikenali sebagai Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) bertujuan menyediakan
pelbagai latihan dan kursus untuk anggota Gerup Gerak Khas dan ATM.
Pada 1 Januari 1977, Rejimen
Kedua Gerak Khas telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Leftenan Kolonel Ghazali
Ibrahim. Dalam tahun 1980-an pula, serentak dengan rancangan Pembesaran
Istimewa Tentera (Perista), Gerak Khas turut mengalami proses pembesaran yang
memberansangkan.
Sebuah Jabatanarah telah
ditubuhkan di Kementerian Pertahanana pada April 1980 manakala pada Januari
1981, Markas Gerup Gerak Khas (GGK) telah ditubuhkan di Kem Imphal, Kuala
Lumpur.
Pada masa yang sama, designasi
unit-unit komando telah diubah dari 1 RGK menjadi 21 Rejimen Para Komando dan 2
RGK kepada 22 Rejimen Para Komando.
Kemudian, nukleas 11 dan 12
Rejimen Gerak Khas telah diwujudkan di Kem Sungai Udang pada 1 April 1981.
Penubuhan dua buah unit tempur yang baru ini adalah sebagai melengkapkan Kor
Gerak Khas dalam tugas-tugas komando. Sorotan daripada rancangan penyusunan
semula Tentera Darat, 12 RGK telah digantung dan anggotanya diserapkan ke
unit-unit tempur Gerak Khas yang lain. Rejimen Para Komando juga telah diubah
designasinya menjadi Rejimen Komando sahaja. Apa yang membanggakan ialah
pasukan elit ini sejak ditubuhkan, tidak pernah diterajui oleh pegawai asing
kecuali anak-anak watan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Tentera&pg=te_03.htm#ixzz4dC5r29uj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan