ARKIB : 07/10/2004
Biarpun usianya sudah menjangkau 70 tahun, Abdul Jalil yang kini menetap bersama isteri serta seorang daripada enam anaknya di Felda Sungai Nerek, Temerloh masih bersemangat.
Darah perwiranya tetap mengalir malah semangat juangnya sentiasa membara walaupun menyedari kudrat yang ada tidak seperkasa 30 tahun lalu.
Baginya, komunis durjana dianggap musuh nombor satu sehingga ke saat ini.
Tidak hairanlah, bak kata pepatah `kuah akan tumpah juga ke nasi' atau `bapak borek anak rintik'.
Seorang adiknya turut menganggotai pasukan tentera selain anak kedua dan seorang menantunya.
Anak lelaki dan menantunya itu masing-masing bertugas di Kuala Lumpur dan Kem Desa Pahlawan di Kelantan, ketika ini.
Siapa menyangka, di sebalik keadaan fizikal Abdul Jalil yang kelihatan semakin dimamah usia, tambahan pula mengalami masalah pendengaran, bapa kepada enam orang anak berasal dari Kampung Durian Sebatang, Raub itu mempunyai banyak pengalaman bertempur dengan komunis sewaktu berkhidmat dalam pasukan polis sekitar tahun 1950-an.
Kekentalan bersama rakan-rakan seangkatan yang berjuang atas prinsip `biar putih tulang jangan putih mata' berjaya mengekang musuh daripada memporak-perandakan tanah air tercinta.
Satu persatu siri pertempuran, kemenangan berpihak kepada pasukan polis.
Pendek kata, bedikan picu senjata Abdul Jalil dan rakan-rakannya sering mengenai sasaran mengakibatkan musuh rebah dan kaku tidak bernyawa.
Abdul Jalil yang diberi jolokan masyarakat kampungnya sebagai `Jalil Terkukur' kerana minatnya memelihara burung terkukur mula membuka cerita lamanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Felda Sungai Nerek, Temerloh.
Beliau mula menyertai Pasukan Wira Darurat (polis) semasa usianya 23 tahun atas dorongan minatnya sendiri apabila setiap kali melihat pasukan keselamatan yang lengkap beruniform dan bersenjata.
Pada waktu itu, beliau banyak ditugaskan bercampur dengan tentera British dan pengalaman pertamanya pada awal tahun 1950-an bermula di hutan Mengkuang, Triang yang menjadi kubu kuat komunis.
Abdul Jalil menyertai tiga platun ketika itu telah berdepan dengan seorang anggota komunis yang kemudian menyerah diri dan berjanji mendedahkan pergerakan serta kedudukan anggota komunis lain.
``Kami juga menjadikan komunis yang serah diri itu sebagai denak untuk mengesan komunis lain sehinggalah ke kawasan hutan sekitar Raub dan Bentong.
``Daripada maklumat musuh ini, ada yang berhasil dan ada juga menemui kegagalan,'' katanya ketika berbualan sambil dibantu seorang anak perempuannya memandangkan pendengaran Abdul Jalil tidak jelas.
Pengalaman paling mencabar ialah ketika menyertai operasi serang hendap di hutan Ulu Dong dan di Cheroh, Raub di mana beberapa musuh berjaya dibunuhnya.
Menurutnya, ketika itu sekiranya silap langkah boleh mengundang maut.
Apa tidaknya, tembak-menembak tercetus dengan peluru musuh yang bersimpang siur nyaris-nyaris hinggap di kepala.
Suasana menjadi kelam-kabut lantaran ledakan peluru yang menggegarkan lokasi pertempuran.
Ada juga anggota keselamatan yang rebah kerana luka akibat ditembak musuh. Beberapa musuh pula tersungkur ke bumi.
``Ketika itu, semangat saya dan rakan-rakan memuncak dan tidak ada langsung rasa gentar, yang penting musuh keparat mesti ditawan,'' katanya sambil menyatakan pasukan keselamatan mencapai kemenangan dalam pertempuran itu.
Selepas peristiwa itu, Abdul Jalil turut menempuh beberapa siri operasi di serata belantara tanah air dan sehinggalah ke saat persaraannya setelah genap 10 tahun berkhidmat dengan polis.
Kini, beliau menghabiskan baki usianya di Felda Sungai Nerek, Temerloh dengan bergantung hidup kepada hasil tanaman getah dan kelapa sawit.
Kadangkala, burung terkukur baka baik peliharaannya juga mampu memberi pendapatan sampingan apabila sering mendapat perhatian peminat burung jenis itu dari luar Pahang.
``Biasanya, setiap seekor dijual sekitar RM200 dan kerana minat saya memburu burung terkukur ini, saya mendapat jolokan `Jalil Terkukur' di kalangan masyarakat di sini (Felda Sungai Nerek),'' jelasnya.
Abdul Jalil juga tidak menafikan ketika setiap kali masuk hutan untuk mencari denak dan burung terkukur, pengalaman ketika menyertai operasi menentang komunis dahulu akan kembali segar di ingatannya.
Menurutnya, biarpun sudah tidak lagi bersama pasukan keselamatan, beliau tetap berbangga kerana semangat juangnya tidak pernah padam.
Atas jasa dan sumbangan besarnya kepada negara, Abdul Jalil pernah menerima wang saguhati RM1,000 daripada Persatuan Bekas-Bekas Polis Malaysia.
Beliau juga adalah ahli Persatuan Bekas-Bekas Polis Malaysia Cawangan Maran. Sebelum menutup tirai perbualan, Abdul Jalil meluahkan hasratnya mencari semula rakan-rakannya yang pernah sama-sama menyertai Pasukan Wira Darurat dari tahun 1950 hingga 1960.
Mereka berkenaan boleh menghubungi Abdul Jalil Wahi di alamat A 10, Felda Sungai Nerek, 28030 Temerloh, Pahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan