Sabtu, 29 April 2017

Dr. Jafri catat sejarah dilantik felo bedah otak dunia

ARKIB : 15/10/2004
KOTA BHARU 14 Okt. - Ketua Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah mencatatkan sejarah sebagai profesor termuda dilantik menjadi Felo Academia Eurasiana Neurochirurgica, sebuah badan berprestij dianggotai pakar bedah otak seluruh dunia.
Pada umur 41 tahun, beliau adalah termuda berbanding 14 felo lain dari negara-negara Asia, Australia dan Eropah rata-rata berusia di atas 55 tahun semasa dilantik.
Selain itu, pelantikan tersebut juga meletakkan beliau sebagai profesor Melayu pertama menerima pengiktirafan daripada badan itu yang hanya dianggotai 100 pakar bedah otak dari tiga benua berkenaan.
Beliau sebelum ini menjadi satu-satunya pakar bedah otak dari Asia Tenggara yang dicalonkan oleh Badan Profesor-Profesor Bahagian Penyelidikan Neurosains dari universiti seluruh dunia tidak lama dahulu sebagai felo terbabit.
Dr. Jafri Malin yang juga pakar bedah otak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, terpilih kerana penglibatannya dalam bidang penyelidkan dan pengajaran sains saraf di Kampus Kesihatan USM di sini.
Beliau menerima anugerah pelantikan itu daripada Presiden Academia Eurasiana Neurochirurgica, Prof. Rudolf Fahlbusch dari Jerman semasa Perhimpunan Pakar Perubatan Neurosains 2004 anjuran Universiti Tokyo di Nara, Jepun, semalam.
Dr. Jafri Malin yang sebelum ini terpilih sebagai rakyat Malaysia pertama mendapat gelaran profesor tanpa perlu menduduki peperiksaan daripada The Royal College of Surgeons, Edinburgh, Scotland ketika dihubungi Utusan Malaysia di Jepun melahirkan penghargaan atas pelantikan itu.
Beliau menyifatkan pelantikan itu adalah penghormatan bagi USM, rakyat dan negara.
``Ini kerana perkhidmatan dan sumbangan saya dalam bidang sains saraf adalah untuk kepentingan semua,'' katanya anak kelahiran Sungai Rambai, Bukit Mertajam, Seberang Prai.
Dr. Jafri Malin ialah lulusan University of Ghent, Belgium dan penerima Anugerah Saintis Muda Negara 2000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan