Selasa, 25 April 2017

Utusan perkenal akhbar kompak KOSMO!

ARKIB : 30/08/2004

ABDULLAH Ahmad Badawi melihat isi kandungan akhbar KOSMO! selepas melancarkan akhbar itu di Kompleks Sri Utusan, Bangi 30 Ogos.


BANGI 30 Ogos - Kumpulan Utusan memperkenal KOSMO! akhbar harian bersaiz kompak pertama di Malaysia.
Majlis pelancaran KOSMO! disempurnakan pada hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kompleks Percetakan Sri Utusan, Bangi.
KOSMO! memenuhi cita rasa generasi muda masa kini sesuai untuk bacaan semua kaum di Malaysia.
Akhbar ini disampaikan dalam bahasa Malaysia dengan harapan ia dapat diperkasakan lagi sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa semua kaum, bukan sekadar bahasa untuk orang Melayu sahaja.
KOSMO! bersifat mesra pembaca kerana saiznya yang lebih kecil menjadikan akhbar ini lebih praktikal dan mudah dibawa ke mana-mana.
Keistimewaan KOSMO!, selain saiznya yang kini menjadi trend baru di seluruh dunia, akhbar ini menampilkan konsep akhbar dan majalah dalam satu.
Selain padat dengan 64 halaman berita semasa dan pelbagai topik bahan rencana, pembaca memperoleh manfaat berganda kerana mereka hanya perlu membayar RM1 untuk senaskhah akhbar KOSMO!
Sesuai dengan kemunculan akhbar ini pada Hari Kebangsaan, KOSMO! lahir sebagai akhbar perpaduan yang membina satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dalam semangat merdeka.
KOSMO! bakal menjadi penyambung integrasi antara kaum dalam pelbagai aspek kehidupan dan pencarian titik persamaan yang sentiasa menjadi harapan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Pengarang KOSMO!, Hamzah Sidek berkata: "Sesuai dengan slogannya Suara Kontemporari, KOSMO! menyasarkan golongan majoriti pembacanya di kalangan generasi baru yang moden, kontemporari dan aktif dalam segala sudut kehidupan.''
"Sebagai pengenalan kepada pembaca, KOSMO! akan diedarkan secara percuma pada setiap hari mulai malam 30 Ogos hingga 6 September 2004,'' kata beliau.
Kumpulan Utusan yang menerbitkan KOSMO! ialah penerbit akhbar harian No. 1, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia iaitu akhbar mingguan paling ramai pembaca di Malaysia.
Selain itu, ia juga menerbitkan Utusan Melayu Mingguan, satu-satunya akhbar jawi dalam pasaran yang diterbitkan sejak tahun 1939.
Majalah-majalah terbitan Kumpulan Utusan ialah Wanita, URTV, Mastika, Hai, Mangga, Saji, Al-Islam, Kawan dan Jurnal Pemikir.
KOSMO! bukan hanya sekadar berita. Ia adalah sebuah akhbar abad ke-21 untuk rakyat Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan