Selasa, 28 Jun 2016

TAMBAK JOHOR TELAH DIRASMIKAN OLEH GABENOR NEGERI SELAT 28.6.1924

Pembinaan Tambak Johor merupakan peristiwa penting dalam sejarah sistem perhubungan Tanah Melayu dan Singapura. Usul pembinaan Tambak Johor itu telah dikemukakan oleh Pengarah JKR Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Encik W. Eyre Kenny, kerana cadangan-cadangan untuk pembinaan jambatan tidak dapat dijalankan oleh sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Majlis perletakkan batu asas bagi pembinaan tambak Johor tersebut telah disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Sir Ibrahim ibni al-marhum Sultan Abu Bakar yang mewakili pihak kerajaan Johor dan kerajaan Negeri-negeri Selat. Pada hari ini 28.6.1924, Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Lawrence Gulliemard telah merasmikan pembukaan Tambak Johor. Turut serta di majlis pembukaan tersebut ialah Sultan Johor, Sultan Selangor, Yang DiPertuan Negeri Sembilan, Raja Bendahara Perak dan kenamaan lain. Tambak Johor merupakan tambak batu yang merentangi Selat Tebrau yang mana berukuran 3465 kaki panjang dan 60 kaki lebar.  Ianya mempunyai landasan keretapi dua hala, sebatang jalan raya selebar 26 kaki dan lorong pejalan kaki di kedua-dua belah tambak.  Perbelanjaan pembinaannya sebanyak RM17 juta dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan. Sewaktu Jepun menawan Tanah Melayu, sepanjang 70 kaki dari Tambak Johor telah dibom oleh pihak Inggeris bagi menahan kemaraan tentera Jepun ke Singapura. Walau bagaimanapun Jepun telah berjaya membaiki kerosakan tersebut dan berjaya menawan Singapura akhirnya. Sesungguhnya dengan pembukaan Tambak Johor pada hari ini, telah mempercepatkan dan mempermudahkan segala urusan perhubungan dan perdagangan di antara Tanah Melayu dan Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan