25 Jun 2016 6:02 PM
UMUM mengetahui Malaysia
terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. Fakta itu jelas menunjukkan tidak wujud
gunung berapi aktif di negara ini.
Namun sejak kebelakangan ini,
ada blogger dan netizen mencetuskan pendapat mengatakan Malaysia berisiko
diancam bencana letusan gunung berapi. Dikatakan akan muncul gunung berapi di
Pahang dan Sabah. Ancaman itu dipercayai boleh berlaku berdasarkan fakta
terdapat gunung berapi prasejarah di kedua-dua negeri tersebut. Gunung berapi
itu dikatakan wujud berjuta tahun lampau dan statusnya boleh bertukar kepada
aktif disebabkan faktor aktiviti seismik di dalam perut muka bumi yang berlaku
sekarang di negara ini.
Aktiviti seismik yang dikaitkan
itu adalah beberapa siri kejadian gempa bumi di beberapa kawasan di Malaysia, antaranya
di Pahang, Kedah dan Sabah.
Selain itu, ada pihak
mempercayai beberapa kawasan pergunungan seperti Gunung Tahan dan Gunung
Kinabalu mampu meledakkan lahar gunung berapinya semula, selepas mati berjuta
tahun lalu ekoran perubahan geologi bumi.
Benarkah tanggapan itu? Bagi
menjawab persoalan tersebut, S2 mendapatkan pandangan pakar geologi dari
Jabatan Geologi Universiti Malaya, Prof. Dr. Mustaffa Kamal Shuib bagi
merungkai bagaimana sejarah gunung berapi dikaitkan dengan Malaysia.
Menurutnya, memang benar
terdapat beberapa kawasan di Malaysia pernah mempunyai gunung berapi tetapi
letusan itu berlaku ratusan juta tahun lalu. Justeru, apa yang tinggal hari ini
adalah sisa gunung berapi yang telah lama mati.
Katanya, lokasi gunung berapi
paling muda dan terakhir pernah meletus di negara ini dipercayai terletak di
Kuantan, Pahang.
“Sehingga hari ini, terdapat
kesan batuan volkanik jenis basalt di pantai Batu Hitam, Kuantan, manakala
punca kawah yang meletuskan lahar pula dipercayai terletak berdekatan pesisir
pantai yang kini dikenali sebagai Damansara Kuantan,” katanya.
Beliau berkata, proses hakisan
dan enapan yang memakan masa jutaan tahun menyebabkan kawah gunung berapi itu
tidak lagi kelihatan.
Katanya, selain Kuantan, lokasi
lain seperti Segamat (Johor), Gerik (Perak) dan Gua Musang (Kelantan) juga
mempunyai batuan volkanik yang dipercayai hasil daripada letusan gunung berapi
di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, Mustaffa Kamal
berkata, dakwaan blogger dan netizen mengenai kejadian gempa bumi di Malaysia
sejak akhir-akhir ini mampu mengaktifkan semula gunung berapi purba adalah
tidak berasas, terutama di Gunung Tahan dan Kinabalu.
“Gunung Tahan dan Kinabalu
adalah gunung yang terbentuk daripada proses enapan dan batuan plutonik yang
terhasil daripada proses pergerakan magma yang membeku dan tidak sempat
mengalir keluar ke permukaan bumi melalui lohong gunung berapi,” katanya.
Sementara itu, katanya, sejak
1997, kejadian gempa bumi di negara ini berlaku akibat gegaran yang tercetus di
Lingkaran Api Pasifik.
Terbaharu gempa bumi berukuran
6.0 Skala Ritcher pada 5 Jun 2015 di Sabah mengorbankan 19 orang.
“Untuk makluman, Semenanjung
berada di atas kerak bumi yang dinamakan Plat Sunda. Plat ini dihimpit Plat
Indo-Australia di sebelah selatan pada kadar tujuh sentimeter setahun.
“Sementara itu, Plat
Filipina-Pasifik pula menghimpit Sabah dan Sarawak pada kadar 10 sentimeter
setahun,” katanya.
Namun katanya, plat yang
menjunam ke bawah Plat Sunda tidak sampai tahap boleh menghasilkan letusan
gunung berapi.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/negara-miliki-gunung-berapi-prasejarah-1.346751#sthash.hBMmnA64.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan