Rabu, 15 Jun 2016

Catat sejarah di bumi Jordan

Fairul Asmaini Mohd Pilus -asmaini@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Jordan, Puteri Sollehah Azlan, 24, mengharumkan nama negara apabila memperoleh keputusan Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan perubatan di Universiti Sains dan Teknologi Jordan (JUST).

Kemampuan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, itu untuk meraih keputusan cemerlang bukan mengejutkan kerana sebelum ini dia mencatat keputusan 11A ( 10A+ dan 1A) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ibunya, Raja Zarina Raja Othman berkata, Puteri Sollehah mendapat markah tertinggi antara graduan perubatan lain di universiti berkenaan bagi tahun ini.

Katanya, kejayaan turut diraikan Duta Malaysia ke Jordan Zakri Jaafar dalam satu majlis khas baru-baru ini sebelum hari konvokesyennya.

“Kejayaan Puteri Sollehah diharap menjadi perangsang pelajar di dalam dan luar negara mencapai yang terbaik dalam pelajaran.

“Kami sekeluarga gembira dengan kejayaan berkenaan dan berdoa Puteri Sollehah dapat menggapai cita-citanya menjadi doktor pakar dalam perubatan forensik suatu hari kelak,” katanya.

Sementara itu, Atase Pendidikan (Education Malaysia Jordan) Kamarulzaman Mustappa ketika dihubungi berkata, Puteri Sollehah antara empat graduan dari Malaysia mendapat keputusan cemerlang Kepujian Kelas Pertama pada konvokesyen universiti terbabit, baru-baru ini.

Kata Kamarulzaman, daripada jumlah itu, seorang pelajar jurusan pergigian dan Puteri Sollehah memperoleh markah tertinggi berbanding tiga pelajar cemerlang lain.

Katanya, sebelum ini, tiada pelajar Malaysia memperoleh keputusan cemerlang Kepujian Kelas Pertama dalam bidang perubatan di universiti terbabit dan empat pelajar itu mencatat sejarah.

“Mereka diraikan dalam Majlis Graduan Gemilang anjuran JPA dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jordan bersama beberapa pelajar cemerlang lain,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:43 AM
 
PUTERI Sollehah bersama pensyarah di JUST

Tiada ulasan:

Catat Ulasan