Ahad, 19 Jun 2016

PENGUMUMAN KAJIAN JABATAN PERKHIDMATAN POS MALAYSIA SEBAGAI AGEN KUTIPAN WANG DAN PEMBAYARAN LESEN 18.6.1982

Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia, merupakan salah satu Jabatan yang memainkan peranan yang utama, menyediakan kemudahan kepada rakyat, konsep pembayaran bil setempat yang dimainkan oleh jabatan ini telah diterima umum pada masa kini. Pada hari ini 18 Jun 1982, Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Datuk Clarence Mansul mengumumkan kajian sedang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos untuk menyediakan kemudahan kutipan wang dan bayaran serta memperbaharui lesen. Datuk Clarence Mansul juga memaklumkan setakat ini, Jabatan Perkhidmatan Pos telah menjadi agen kepada 23 buah agensi kerajaan, ini termasuklah Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Simpanan Nasional dan Lembaga Padi dan Beras Negara.  Beliau menambah, usaha-usaha yang dijalankan ini, bertujuan memberi kemudahan kepada rakyat membuat bayaran di satu tempat, ataupun lebih dikenali dengan perkhidmatan Bayaran Bil Setempat. Namun begitu implikasi juga harus dikaji dari segi kemampuan tenaga pekerja, kemudahan peralatan demi mempastikan tidak berlaku masalah kepada semua pihak terutamanya kepada pengguna. Peranan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos ini menggambarkan kerajaan pada setiap masa sedar akan rungutan orang ramai terutama berkaitan dengan kesulitan mereka untuk pergi ke pejabat-pejabat tertentu untuk menjelaskan bayaran seperti bil air, api ataupun lesen memandu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan