25 Jun 2016 6:12 PM
TERLETAK di ketinggian 1,096
meter, Gunung Maria berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi ekopelancongan
terbaharu di Tawau, Sabah. Berbekalkan kisah sejarahnya yang menarik, sudah
tentu kehadiran gunung berapi pendam itu mampu menarik kedatangan pencinta alam
untuk menerokanya.
Walaupun tiada kawah dapat
dilihat, namun pengalaman mendaki ke puncak Maria yang pernah memuntahkan lahar
tentunya mengujakan. Ini diakui sekumpulan sukarelawan yang mengadakan
ekspedisi bagi tujuan mendokumentasikan keunikan khazanah alam di pergunungan
itu pada 25 Februari hingga 5 Mac 2016.
Salah seorang anggota
ekspedisi, Nik Khairul Amri, berkata, ekspedisi itu bertujuan mengumpul data
berkaitan khazanah hutan di Gunung Lucia, Gunung Magdalena dan Gunung Maria
yang terletak dalam kawasan Taman Bukit Tawau, kira-kira 24 kilometer dari
bandar Tawau, Sabah.
Menurutnya, ekspedisi yang
diketuai oleh Laili Basir itu turut membawa jurugambar profesional bagi
merakamkan gambar flora dan fauna di sepanjang laluan mendaki ke puncak gunung
tersebut.
“Kami mengambil masa lima hari
bagi menamatkan ekspedisi. Antara lain, misi ekspedisi adalah mendokumentasikan
khazanah alam sebelum hutan sekitarnya musnah dek pembangunan,” katanya kepada
S2.
Beliau melahirkan kebimbangan
kerana terdapat dua projek yang boleh menjejaskan ekosistem gunung tersebut.
“Kami dapati terdapat projek
geothermal bagi menjana tenaga elektrik di kaki gunung, selain projek empangan
yang sedang dalam perancangan.
“Kami bimbang jika pembangunan
tidak dikawal, ia akan merosakkan khazanah alam yang tersimpan di gunung
tersebut,” katanya.
Ekspedisi ini dianjurkan oleh
Hugs Project dengan kerjasama sukarelawan dari Persatuan Malim Gunung Malaysia
dan Luar Biasa Photography.
Dalam pada itu, Nik Khairul
berkata, beliau difahamkan saiz kawah Gunung Maria adalah dua kilometer
persegi.
Katanya, semasa mendaki, mereka
dapat melihat susunan pokok yang menunjukkan kawasan kawah terletak di situ.
“Semasa kami berdiri di satu
lereng, kami nampak pokok di situ ‘berdiri’ dalam kedudukan yang memperlihatkan
bentuk seperti kawah. Apabila disemak melalui Google Earth, kami dapati kawasan
itu adalah bekas kawah yang pernah memuntahkan lahar satu ketika dahulu,”
katanya.
Sementara itu, seorang lagi
sukarelawan, Mohammad Mohammad Salleh, berkata, misi mendokumentasikan gunung
berapi pendam itu juga dilakukan dari sudut ekopelancongan dan geopelancongan.
Menurutnya, dalam ekspedisi
itu, mereka menemui pokok bersaiz ‘gergasi’ serta haiwan liar dan tapak kaki
seperti gajah pigmi, landak, kijang dan harimau kumbang.
“Tiada aktiviti pembalakan di
hutan ini menyebabkan saiz pokok di sini sangat luar biasa besarnya,” katanya.
Mengulas mengenai pendakian,
katanya,laluan ke puncak Gunung Maria dirintis oleh mereka.
“Kami buka laluan mendaki dari
puncak Lucia ke puncak Maria. Laluan ke puncak Lucia sudah dibuka kepada
pendaki pada 2008, tetapi tidak ramai yang tahu mengenainya,” katanya.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/pelihara-khazanah-gunung-maria-1.346759#sthash.qx0RRCHq.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan