Khamis, 9 Jun 2016

DYMM SULTAN PAHANG, SULTAN ABU BAKAR MERASMIKAN PEMBUKAAN SEKOLAH ABU BAKAR, TEMERLOH 9.6.1939

Kesedaran masyarakat mengenai pendidikan terutama di kalangan orang-orang Melayu telah wujud sejak lama dahulu. Peringkat awal pendidikan hanya bertumpu kepada pendidikan agama melalui sekolah-sekolah rakyat yang dibina oleh penduduk kampung. Selepas kemasukan Inggeris, mereka telah mendirikan sekolah-sekolah Inggeris dan Melayu untuk penduduk di luar bandar. Bantuan-bantuan kewangan juga disalurkan kepada sekolah-sekolah berkenaan. Di Temerloh, Pahang sebuah sekolah telah dirasmikan pembukaannya pada hari ini 9 Jun 1939 oleh DYMM Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar. Sekolah ini dibuka hasil desakan rakyat yang telah menulis surat rayuan kepada DYMM Sultan, meminta supaya sebuah sekolah dibuka untuk penduduk di kawasan ini. Rayuan penduduk ini mendapat sokongan Encik E.C. Hicks, Nadzir Sekolah-sekolah ketika itu. Satu peruntukan berjumlah RM20,000.00 telah diluluskan untuk tujuan pembinaan bangunan sekolah dan dua buah rumah guru. Bangunan sekolah dua tingkat ini mempunyai lima bilik darjah di tingkat atas dan Pejabat Guru Besar dan beberapa bilik darjah lagi di tingkat bawah. Sekolah ini telah memulakan sesi persekolahannya pada 12 Januari 1939, dengan nama asalnya Mentakab English School. Pada 9 Jun 1939, DYMM Sultan Abu Bakar telah berkenan berangkat merasmikan sekolah tersebut dan menamakanya dengan nama Sekolah Abu Bakar sempena nama baginda. Nadzir Sekolah Negeri Pahang ketika itu Encik G.L. Bayliss telah turut hadir dan guru besar pertamanya ialah Encik C. Sivapakram dihantar khas dari Raub untuk bertugas di sekolah ini. Seramai 42 orang murid perintis telah memulakan persekolahan mereka di sekolah ini. Dua kelas telah dibuka iaitu 28 murid dalam Special Malay Class dan 14 orang dalam darjah satu. Sesungguhnya sekolah ini adalah antara sekolah tertua di negeri Pahang. Penubuhannya telah membuka peluang kepada kanak-kanak di kawasan Temerloh - Mentakab ketika itu memasuki alam persekolahan. Pengambilan pelajar dan kakitangan akademiknya terus meningkat dari setahun ke setahun. Secara keseluruhan perkembangan sekolah ini adalah asas kepada kemajuan sekolah, di Temerloh - Mentakab dan penubuhannya juga adalah atas dasar kesedaran rakyat untuk menyediakan warganegara yang berilmu pengetahuan serta untuk menjamin negara agar terus maju di masa hadapan.

http://www2.arkib.gov.my/hids/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan