Sabtu, 25 Jun 2016

PERASMIAN PEMBUKAAN LAPANGAN TERBANG TUDM KUANTAN OLEH SULTAN PAHANG

Lapangan terbang merupakan keperluan terpenting bagi pasukan Tentera Udara DiRaja Malaysia TUDM menjalankan latihan udara dan sebagainya.  Bagi negeri Pahang, sebuah lapangan terbang TUDM bertempat di Kuantan telah diadakan untuk kegunaan TUDM negeri Pahang. Pada hari ini 24.6.1968 D.Y.M.M. Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Al-Mu'tasim Billah Al-Sultan Abdullah, Sultan Pahang telah berkenan mencemar Duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia tersebut.  Turut serta di Majlis Istiadat tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussien, Tengku Mahkota Pahang, Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia dan Ketua Turus Tentera Udara Diraja Malaysia. Ketibaan Baginda di istiadat tersebut di sambut oleh Komodor Udara Sulaiman.   Baginda kemudian menerima tabek kehormatan oleh 100 orang terdiri dari pegawai dan anggota TUDM. Di waktu itu juga pasukan kapal terbang Jet Tebuan dan Helikopter Sikorsky terbang rendah memberi hormat. Pasukan pancaragam Askar Melayu Diraja turut mengambil bahagian dalam upacara tersebut. Di antara objektif utama lapangan terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Kuantan didirikan ialah:
Untuk melengkap dan memperbesarkan lagi kekuatan angkatan udara, supaya TUDM boleh menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku di mana-mana juga dalam Malaysia yang memerlukan bantuannya.      
Menyediakan kelengkapan dengan kemudahan untuk melatih pemandu-pemandu kapal terbang TUDM, seperti menembak roket dari udara ke tanah  dan lain-lain.
Pasukan kapal terbang Jet Tebuan dan skuadren helikopter S61A-4, yang akan diberi nama `Nuri' telah ditempatkan di pengkalan itu. Ketika berucap dalam istiadat pembukaan pengkalan TUDM tersebut, Timbalan Perdana Menteri berkata bahawa Kerajaan berharap untuk mengambil alih seluruh tanggungjawab pertahanan apabila tentera-tentera British keluar dari Malaysia. Di samping itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan negeri kerana bermurah hati menyediakan kawasan untuk dijadikan pengkalan itu. Sesungguhnya dengan adanya pengakalan TUDM di Kuantan Pahang diharap akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan Tentera Udara DiRaja Malaysia di negara ini setanding dengan perkhidmatan tentera udara di negara-negara lain di seluruh dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan