Rabu, 15 Jun 2016

PERANG NANING BERAKHIR

Pada hari ini  dalam tahun 15.6.1832,  peperangan di antara pihak Kerajaan Inggeris di Melaka dengan Naning telah berakhir.  Peperangan yang lebih dikenali sebagai Perang Naning ini  meletus akibat daripada keengganan orang-orang Melayu Naning membayar cukai  kepada pihak berkuasa Kerajaan Inggeris di Melaka.  Pada bulan Julai 1831, sepasukan  askar Sepoi telah dihantar oleh kerajaan Inggeris ke Naning untuk menghapuskan orang-orang Naning yang diketuai oleh Penghulunya, Dato' Naning Abdul Said atau Dol Said. Serangan itu dapat dipatahkan oleh pasukan Dato' Naning yang mendapat bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban.  Pada 28 Januari 1832, satu perjanjian ditandatangani di antara Rembau dan pihak Inggeris hasil daripada beberapa siri rundingan yang diadakan daripada bulan September 1831 hingga Januari 1832. Hasil daripada perjanjian itu Rembau telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat oleh  Inggeris dan sebagai ganjarannya Raja Ali telah menarik pasukanya di Naning.  Dalam serangan kali kedua ke atas Naning, Inggeris telah mendapat bantuan daripada Rembau dan telah berjaya menawan selepas pertempuran yang sengit selama dua bulan.  Sesungguhnya, Perang Naning telah membuktikan semangat juang di kalangan orang-orang Melayu tidak pernah luntur dalam memerdekakan  tanahair.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan