HUSSAINI AMRAN | 13
Jun 2016 12:59 AM
LANTANG dan berterus-terang.
Dua sifat itu sememangnya sinonim dengan Tan Sri Abdullah Ahmad. Kenalan yang
rapat dengan beliau sentiasa mengingatinya sebagai seorang ahli politik dan
penulis yang tidak pernah gentar menyuarakan pandangan yang diyakini benar.
Tokoh yang lebih mesra dengan
gelaran ‘Dollah Kok Lanas’ itu meninggal dunia semalam setelah menderita
penyakit kanser sejak setahun lalu. Abdullah berusia 79 tahun ketika
menghembuskan nafas terakhir.
Abdullah menerima pendidikan
peringkat menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pelajaran
ke Universiti Cambridge, United Kingdom dan Universiti Harvard, Amerika
Syarikat.
Pembabitannya dalam bidang
politik bermula pada usia 25 tahun dengan pelantikan beliau sebagai Pegawai
Khas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 1962. Seterusnya,
Abdullah menjadi Setiausaha Politik Abdul Razak mulai 1973 hingga 1976.
Allahyarham juga pernah
menganggotai Kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mulai
1974 hingga 1976. Selain itu, beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Machang
(1974-1978) dan Ahli Parlimen Kok Lanas (1986-1990).
Abdullah ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) selama hampir lima tahun mulai November
1976 hingga Julai 1981. Antara tokoh yang menjalani tahanan bersama beliau
ialah bekas aktivis politik dan sosial, Dr. Kassim Ahmad dan Tokoh Wartawan
Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail.
Beliau menjadi Ahli Majlis
Tertinggi UMNO mulai 1974 hingga 1976 serta Ketua UMNO Bahagian Machang dan
Bahagian Kok Lanas. Beliau juga diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk
menggalas tanggungjawab sebagai Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) mulai 1996 hingga 2000.
Allahyarham pernah dilantik
sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan pada pertengahan 1960-an serta
aktif menyumbang tulisan kepada Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Dalam
nukilan terakhir melalui kolum Komentar Abdullah Ahmad yang disiarkan Utusan
Malaysia pada 30 Disember 2001, beliau menyatakan penglibatannya dengan Utusan
Melayu dan Utusan Malaysia adalah terlalu lama.
Antara kata-kata yang ditulis
berhubung Utusan Malaysia yang dirakamkan Allahyarham dalam kolum tersebut
adalah seperti berikut:
“Penulis pernah menulis
sekali-sekala di zaman Othman Wok (bekas Menteri PAP di Singapura) yang tatkala
itu menjadi Ketua Editor Berita Utusan dan zaman selepasnya. Penulis, atas nama
Tun Razak dan perkenannya telah melantik Datuk Seri Hussein Nordin sebagai
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Mazlan Nordin selaku ketua pengarang dan
beberapa pelantikan penting lagi.
“Antara kawan akrab penulis di
Utusan Melayu ialah Rosedin Yaakub (Datuk), bekas ketua pemberita Utusan yang
kemudian menjadi Setiausaha Politik Datuk Harun Idris, arwah Salleh Yusof dan
antara rakan seperjuangan ialah arwah Osman Abadi, arwah Harun Hassan; Zam,
Melan Abdullah (Tan Sri) dan ramai lagi.
“Penulis telah ditawarkan
sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Utusan oleh Anwar Ibrahim (Datuk Seri)
untuk menggantikan Mazlan yang pada waktu itu memangku jawatan pengerusi ahli
lembaga pengarah. Tetapi penulis telah menolak.
“Penulis tersangkut dengan
Utusan sebenarnya terlalu lama semasa di sekolah Melayu dan ketika pejabat
Utusan Melayu dan Melayu Raya masih lagi di Singapura.
“Tanpa penulis kenali, A. Samad
Ismail (Tan Sri), Abdul Aziz Ishak (bekas Menteri Pertanian pada masa Tunku
Abdul Rahman Putra) mereka selaku wartawan Utusan berserta S. Rajaratnam
(Pengarang Singapore Standard, selepas itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri
Luar Singapura), Harry Miller (Straits Times), Pak Sako (Datuk Ishak Muhammad)
dan Datuk Ahmad Boestamam adalah ikon penulis dan penulis mahu mengikut jejak
mereka dalam alam kewartawanan.”
Sebelum itu, Abdullah
menyumbang tulisan untuk kolum Pandangan Dari Tudor City, New York dalam Utusan
Malaysia mulai Ogos 1996 hingga awal 2000 dan ruangan Isu dalam Mingguan
Malaysia sehingga April 2000.
Allahyarham kemudian menyandang
jawatan Ketua Pengarang Kumpulan The News Straits Times Press (NSTP)
(2002-2003. Beliau juga menjadi kolumnis Sinar Harian sejak lima tahun lalu.
Bekas Pengerusi Institut Kajian
Politik dan Ekonomi (Ikape) itu merakamkan pandangan tentang pelbagai isu dalam
buku-buku yang ditulisnya seperti Tengku Abdul Rahman’s Foreign Policy:
1957-1970, Issues in Malaysian Politics, The Diarist, Pandangan Dari Tudor
City, New York, Notes from the United Nations, On The Record dan Berani Tanpa
Segan.
Abdullah tidak akan menulis
lagi. Namun, legasi yang ditinggalkannya dalam bidang politik dan penulisan
terus menjadi rujukan generasi sekarang dan pada masa akan datang.
Petikan berikut daripada
tulisan terakhir Allahyarham dalam kolum Komentar Abdullah Ahmad di Utusan
Malaysia adalah tepat bagi menyimpulkan intipati perjuangan beliau sebelum
meninggalkan dunia yang fana ini:
“Penulis cuba sedaya
melaksanakan covenant/ikrar penulis dengan Pencipta-Nya (Maker), dan juga
dengan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan tidak kurang pula
terpenting dengan consciencenya (hati sanubari yang sedar apa yang betul dan
apa yang salah). Dia mahu tidur lena dan menghembus nafasnya dengan selesa
aman.”
– AL-FATIHAH
BELASUNGKAWA
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/abdullah-pergi-meninggalkan-nama-1.341798#sthash.gxQN7wvl.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan