Rabu, 22 Jun 2016

LAHIRNYA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) DI JOHOR BHARU

Pada hari ini 22.06.1956, lahirlah DBP di Bukit Timbalan, Johor Bharu sebagai sebuah agensi bagi mengembangkan bahasa Melayu dan menjadikannya bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara merdeka. Setahun kemudian, DBP telah dipindahkan ke Kuala Lumpur dengan Pengarahnya yang pertama Prof. Diraja Ungku Aziz. Tugas utama Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu hanyalah membina dan melengkapkan bahasa. Dalam tahun 1959, melalui sebuah Akta Parlimen, DBP telah bertukar taraf dari sebuah Jabatan Kerajaan menjadi sebuah Badan Berkanun yang mana matlamatnya antara lain memajukan dan memperkayakan Bahasa Kebangsaan, memajukan bakat kesusasteraan, mencetak dan menerbitkan buku-buku, risalah-risalah dan lain-lain persuratan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain serta menyamakan ejaan dan bunyi sebutan dan membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. Pada 31 Januari 1962, DBP telah berpindah ke bangunannya sendiri di Jalan Wisma Putra. Semenjak penubuhannya di Johor Bahru, DBP telah memainkan peranan yang penting dalam memajukan dan mendaulatkan Bahasa Melayu dan hingga kini terus bergiat dalam pengembangan bahasa dan sastera agar menjadi lebih mantap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan