Jumaat, 6 Mei 2016

Zamri cipta sejarah di Eropah


 

Oleh JALALUDDIN BAHARIN
ZAMRI (kiri) merangkul jersi merah pada peringkat pertama Jelajah Azerbaijan 2016 di Baku kelmarin.

PELUMBA basikal berpengalaman negara, Mohd. Zamri Salleh berjaya membuktikan bahawa usia bukan penghalang bagi­nya untuk menakluk podium peringkat pertama pada Jelajah Azerbaijan 2016 kelmarin.

Ia dapat dibuktikan apabila pelumba berusia 33 tahun itu berjaya meraih gelaran Raja Bukit (jersi merah) pada perlumbaan sejauh 153.53 kilometer yang bermula di Baku itu.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama yang berjaya menduduki podium pada kejohanan bertaraf Jelajah Eropah kelas 2.1.

Menurut Mohd. Zamri, kejayaannya itu sebenarnya bertitik tolak daripada perasaan ingin mencuba untuk keluar daripada kumpulan besar pelumba dan bergerak secara solo sejauh kira-kira 60 kilometer.

“Alhamdulillah, sebenarnya saya tidak menyangka boleh menyarung jersi merah. Saya pun tidak ada pe­rancangan untuk bergerak secara solo dan keluar daripada kelompok besar pelumba.

“Bagi saya, tidak salah sekiranya mahu mencuba sesuatu yang lain daripada perkara yang biasa saya lakukan. Jika kita ikut pada laluan, pada hari ini (kelmarin) cuaca agak berangin dan apabila perlumbaan bermula, semua pelumba kelihatan sangat aktif.

“Namun, selepas 20 kilometer perlumbaan berlangsung, kumpulan pelumba sudah mula berpecah dan ketika itulah saya mengambil peluang untuk bergerak secara solo.

“Saya dapat meraih gelaran raja bukit semasa berkayuh di kilometer ke-58 dan semasa memasuki kilometer ke-80, baru kumpulan besar pelumba dapat mengejar saya daripada belakang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, sebanyak 21 pasukan dari Eropah dan Asia berentap pada Jelajah Azerbaijan 2016 yang mempunyai lima peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan sejauh 791 kilometer.

Dalam perkembangan sama, Zamri turut mengakui agak kecewa kerana rakan sepasukan yang juga adiknya, Mohd. Harrif Salleh terlibat dalam kemalangan kira-kira 40 kilometer sebelum perlumbaan menuju ke garisan penamat.

“Saya rasa agak kecewa kerana pakar pecut kita terlibat dalam kemalangan dan jika ia tidak berlaku, sudah tentu kita mampu meraih kedudukan terbaik,” ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz47tEm5d5p Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan