Khamis, 26 Mei 2016

BENDERA PERSEKUTUAN DIKIBARKAN BUAT PERTAMA KALI PADA 26.5.1950

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1950,  bendera  persekutuan  buat  pertama  kalinya  telah  dikibarkan  di  Istana  Sultan  Selangor  di  Kuala  Lumpur.  Bendera  ini  telah  dijadikan  bendera rasmi  Persekutuan  Tanah  Melayu  apabila  negara  mencapai  kemerdekaan  pada  tahun  1957,  dan  dikibarkan  pada  hari  yang  penuh  bersejarah  itu.  Bendera  berukuran  6’ x 3’  ini  adalah  hasil  rekaan  Allahyarham  Mohamed  bin  Hamzah,  seorang  kakitangan  Jabatan  Kerja  Raya  di  Johor   dalam  satu  pertandingan  yang  diadakan  pada  tahun  1949.  Berdasarkan  petikan daripada  fail  Jabatan  Perdana  Menteri  bertajuk  ‘Federation  of  Malaya  Flags’ ada  menjelaskan  tentang  pengertian  simbol-simbol  pada  bendera  tersebut.  Surat  bertarikh  7 Jun 1950  itu,  menjelaskan  bahawa  11  jalur  berwarna  merah  dan  putih  dan  bintang  pecah  11  adalah  lambang  perpaduan  dan  kerjasama  11  buah  negeri  dalam  Persekutuan  Tanah  Melayu. Lambang  bulan  dan  bintang  berwarna  kuning  menandakan  agama  Islam  sebagai  agama  rasmi. Warna  merah, putih  dan  biru  melambangkan  gabungan  dan  kerjasama  Persekutuan  Tanah  Melayu  dalam  Pertubuhan  Negara-negara  Komanwel.  Hari  ini,  setelah  50  tahun  negara  mencapai  kemerdekaan  bendera  ini masih  lagi  berkibar  megah  di  angkasaraya.  Malah  pada  31  Ogos  1997,  bendera  Malaysia  ini  menempa  satu  lagi  sejarah  apabila  ia  diberikan  nama  khas  iaitu  Jalur  Gemilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan