Jumaat, 6 Mei 2016

Kapal timbul dibina di Scotland

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
KAKITANGAN Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja penyelidikan ke atas bangkai sebuah kapal dikenali sebagai SS Amherst yang karam pada tahun 1901 di Sungai Pahang berhampiran Kampung Tanjung, Paloh Hinai di Pekan semalam.

PEKAN – Sebuah bangkai kapal yang muncul selepas air Sungai Pahang menjadi cetek di Kampung Tanjung, Paloh Hinai di sini dipercayai kapal bernama SS Amherst dari Si­ngapura yang karam pada tahun 1901.

Pengarah Jabatan Warisan Negara Zon Timur, Mohd. Shukri Mohd. Isa berkata, berdasarkan kajian dan penyelidikan awal, kapal kargo penumpang yang dijana dengan kuasa wap itu dibina pada tahun 1886 di Glasgow, Scotland. Ia karam selepas dilanda ombak deras ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Kota Bharu, Kelantan.

Menurutnya, maklumat berkaitan sejarah kapal tersebut diketahui berdasarkan inkues serta siasatan insiden sebuah kapal karam di Mahkamah Maritim di Singapura pada 17 Disember 1901.

“Bagaimanapun, siasatan itu masih pada peringkat awal, namun kami percaya hampir 70 peratus penyelidikan sebelum ini hampir sama dengan bangkai kapal ditemui.

“Kita masih menjalankan siasatan terperinci di lokasi dan membuat perbandingan dengan rekod kapal karam pada tahun ber­kenaan,” katanya selepas me­lawat lokasi bangkai kapal itu di Sungai Pahang semalam.

Seramai 12 orang kakitangan Bahagian Arkeologi Bawah serta Pe­nguatkuasaan Jabatan Warisan Negara hadir untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan terhadap bangkai kapal itu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz47qFwqyYF Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan