Ahad, 1 Mei 2016

Pakar sejarah belum temui DNA Hang Tuah

FARHANA JONI  |  30 April 2016 1:28 AM
KUALA LUMPUR 29 April - Pakar dan ahli sejarah yang mengkaji susur galur Mela­yu masih gagal menemukan hasil saintifik mengenai kebenaran wujudnya Hang Tuah.
 
Khoo Kay Kim
Pakar sejarah, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (gambar) berkata, keadaan menjadi semakin rumit apabila terdapat beberapa pihak mendakwa mereka berasal daripada keturunan Hang Tuah, namun gagal mengemukakan bukti asid deoksiribonukleik (DNA) masing-masing.
Katanya, dua situasi tersebut mengakibatkan kebenaran me­ngenai wujudnya Hang Tuah masih menjadi perdebatan pelbagai pihak kerana sifat sejarah bagi sesuatu perkara atau peristiwa perlu disertakan dengan bukti daripada pelbagai sumber.
“Kekeliruan itu menyebabkan ada yang mengatakan Hang Tuah itu mitos, ada juga yang mendakwa ia sebahagian daripada sejarah Melayu. Malah, saya sendiri pernah ditanya mengenainya namun saya tidak mempunyai bukti bahawa Hang Tuah itu wujud.
“Keadaan menjadi lebih rumit apabila orang di China mendakwa Hang Tuah itu merupakan orang Cina kerana perkataan ‘Hang’ adalah lebih sinonim digunakan oleh kaum tersebut.
“Tetapi, menurut rekod kerajaan Ming di China, Hang Li Po itu tidak pula wujud. Atas sebab-sebab seperti ini, pakar dan ahli sejarah perlu mengemukakan bukti yang tepat dan kukuh supaya kajian masing-masing tidak boleh dipertikaikan sebagai mitos,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Buku Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu dan Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak dan Profesor Jabatan Sejarah UM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Ghazali.
Hadir sama, bekas Felo Penyelidik Jabatan Sejarah UM yang juga penulis buku tersebut, Prof. Emeritus Ahmat Adam serta pengulas buku berkenaan yang juga Felo Penyelidik Akademi Pengajian Melayu UM, Prof. Dr. Henri Chambert Loir.
Dalam perkembangan yang sama, Ahmat yang kini mahu dikenali sebagai Sarjana Bebas mendakwa, sejak ratusan tahun lalu masyarakat telah melakukan kesalahan dalam menyebut nama Hang Tuah kerana perkataan Tuah tidak wujud sebelum kurun ke-17.
Katanya, Paderi Valentine yang berasal dari Belanda merupakan individu pertama yang menemui Hikayat Hang Tuah di Maluku pada tahun 1695.
“Dalam hikayat itu menyebut terdapat seorang laksamana hebat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dikenali sebagai iaitu Hang Tuo, iaitu perkataan yang berasal daripada bahasa Jawa dan Melayu kuno.
“Hikayat itu seterusnya menjadi bahan kajian pakar-pakar budaya sejarah Melayu dalam kalangan orang Eropah yang kemudiannya menambah huruf H pada hujung perkataan Tuo, kerana mudah untuk mereka menyebutnya.
“Perkara itu dibuktikan menerusi pelbagai kamus Melayu terawal seperti Mouri pada 1701, Kamus James Howson (1801) dan banyak lagi buku di Sumatera, Indonesia menulis perkara sama,” katanya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pakar-sejarah-belum-temui-dna-hang-tuah-1.300267#sthash.8GLzI0i5.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan