Isnin, 23 Mei 2016

TUN ABDUL RAZAK MERASMIKAN SEKOLAH LATIHAN TEKNIK TUDM DI KINRARA

Pada hari ini 23.5.1964, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak telah merasmikan pembukaan Sekolah Latihan Teknik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kinrara Kuala Lumpur. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Turus Angkatan Bersenjata Malaysia Lt. Jeneral Tengku Osman bin Tengku Mohd. Jewa, Setiausaha Kementerian Pertahanan, En. Abdul Kadir Yusuf serta para pegawai kanan TUDM. Dalam ucapannya semasa merasmikan pembukaan Sekolah Latihan Teknik tersebut, Timbalan Perdana Menteri menyatakan lebih 400 orang pemuda akan dilatih dalam 1965 untuk diambil berkhidmat sebagai Juruteknik TUDM. Usaha mendapatkan Juruteknik berkebolehan amat penting dalam memperkemaskan TUDM.  Menurut beliau lagi, sebagai usaha memperkembangkan TUDM, sebuah pengkalan TUDM akan dibina di Alor Setar. Beliau berharap dengan wujudnya Sekolah Latihan Teknik ini dan juga bantuan daripada Angkatan Tentera Udara Diraja British akan dapat memajukan lagi Angkatan Udara Malaysia. Sesungguhnya pembukaan rasmi Sekolah Latihan Teknik TUDM di Kinrara pada hari ini dalam tahun 1964, telah membawa TUDM maju setapak lagi dalam usaha mengembangkan sayapnya melindungi ruang angkasa negara daripada sebarang pencerobohan musuh.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan