Isnin, 2 Mei 2016

PERBADANAN PEMBANGUNAN BANDAR (UDA) DITUBUHKAN

Pada hari ini 2.5.1971 Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) telah ditubuhkan mengikut Akta 46 Perbadanan Pembangunan Bandar 1971.  Upacara pengumuman penubuhannya dilakukan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Hussein.  Lembaga ini diletakkan di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri Tun Dr. Ismail.
Antara tugas utama UDA ialah:
Menjalankan pembangunan di kawasan-kawasan bandar dengan tujuan memperbaiki kemudahan-kemudahan sosial di samping memajukan perpaduan negara.
Dalam usaha menyusun semula masyarakat UDA juga turut memainkan peranan dengan melaksanakan projek-projek penempatan semula dan projek-projek perumahan.  Selain dari itu UDA juga bertanggungjawab mempercepatkan pencapaian matlamat 30 peratus penyertaan bumiputera di bidang-bidang perusahaan dan perdagangan, di mana UDA ada menyediakan kemudahan perniagaan dalam berbagai cara.
Untuk melicinkan perlaksanaan dasar menyusun semula masyarakat melalui pembangunan bandar, UDA mengatur rancangannya kepada 5 bahagian penting iaitu:
Kemudahan bangunan-bangunan yang sudah sedia ada.
Rancangan rumah-rumah kedai.
Rancangan Penyertaan Bumiputera di bidang perniagaan.
Rancangan pembangunan yang menyeluruh di kawasan bandar.
Pembelian tanah.
Dalam usaha mencapai matlamat serampang dua mata Rancangan Malaysia Kedua, UDA mengamalkan 2 pendekatan atau approach:-
Pembangunan semula bandar secara menyeluruh.
Pembangunan bandar-bandar baru.
Sungguhpun di peringkat permulaan UDA menumpukan perhatiannya kepada kawasan-kawasan di sekitar Kuala Lumpur, tetapi kini kegiatan UDA telah meluas ke setiap negeri.  Ini termasuk projek mendirikan bangunannya sendiri di kawasan yang sesuai di atas tanah kerajaan atau tanah awam, membeli bangunan perniagaan yang sesuai dalam kawasan perniagaan atau menyewa bangunan perniagaan daripada pemilik-pemilik persendirian dan peniaga-peniaga yang berkemampuan khususnya peniaga bumiputera boleh membeli bangunan UDA samada dengan bayaran tunai atau pun ansuran.  Malah peniaga-peniaga juga boleh menukarkan bayaran sewa untuk dijadikan bayaran permulaan. Dengan tertubuhnya UDA, Kerajaan berharap akan dapat membentuk satu masyarakat moden yang lebih progresif dalam bidang ekonomi.

Sumber-http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan