Rabu, 2 Mac 2016

Tun Razak Tokoh Negarawan Ulung

02 Mac 2016 2:28 AM 
KUALA LUMPUR 1 Mac - Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein diangkat sebagai Tokoh Negarawan Ulung dalam penganugerahan Utusan Business Awards 2015 yang diadakan buat julung kalinya oleh Kumpulan Utusan.
Anugerah tersebut diberikan kepada Bapa Pembangunan itu bagi menghargai sumbangan besar beliau kepada pembangunan negara sehingga ke akhir hayatnya.
Penganugerahan itu disampaikan kepada isteri beliau, Tun Rahah Mohammad Noah oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan hadir merasmikan majlis anugerah berprestij itu.
Dedikasi kepimpinan dan khidmat bakti Allahyarham Tun Abdul Razak telah mula dizahirkan kepada negara selepas beliau diangkat sebagai Perdana Menteri pada tahun 1970.
Sebaik mengangkat sumpah jawatan itu, Allahyarham bertindak merencanakan pembangunan Malaysia dan tiada apa pun yang mampu melemahkan jiwa beliau untuk mencurahkan bakti kepada negara.
Jika tiada jalan darat, berkereta api beliau sanggup melakukannya, bersampan pula tidak asing baginya jika tiada kereta.
Beliau mencatat sejarah apabila merintis hubungan diplomatik dengan China, mengukuhkan hubungan dengan Rusia, Asia Barat dan Amerika Syarikat (AS).
Sungguh pun telah tiada, legasi­nya kekal hingga kini. Antaranya rancangan Buku Hijau, penubuhan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Felda, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan beberapa lagi agensi yang terangkum di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
DEB berjaya menangani cabaran ekonomi, politik dan keselamatan negara pada waktu itu sekali gus membawa kesejahteraan kepada semua kaum.
Hasil perkongsian hidup dengan Rahah, negarawan ‘arkitek’ pembangunan Malaysia itu dikurniakan lima orang putera dan putera sulungnya kini merupakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada majlis anugerah itu, Rahah diiringi anaknya, Datuk Ahmad Johari Tun Razak; cucu beliau, Datuk Mohd. Nizar Najib dan Datuk Mohd. Nazifuddin Najib; anak saudara beliau, Datin Paduka Dr. Faridah Abdullah serta pengawal peribadi keluarganya, Datuk Idris Shaari Mat Aris.
Selain anugerah utama itu, Utusan Business Awards 2015 turut memberikan tiga Anugerah Sepanjang Hayat; 17 Anugerah Kecemerlangan Industri dan 10 Anugerah Kepimpinan Cemerlang sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kepada syarikat dan individu di atas pencapaian serta sumbangan mereka dalam industri masing-masing dalam pembangunan ekonomi Malaysia.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tun-razak-tokoh-negarawan-ulung-1.196166#sthash.5yc9BjP4.dpuf



Tiada ulasan:

Catat Ulasan