Oleh AHMAD
FAZLI MOHD. YADI
HASHIM bersama
kasut emas yang diraih ketika bersama Kelantan pada tahun 1993 dan 1994.
BEKAS penyerang
Kelantan, Hashim Mustafa mencabar pemain-pemain tempatan terutama pemain
kebangsaan berusaha keras untuk meledak lebih 30 gol dalam saingan Liga
Malaysia (Liga M) pada musim ini.
Cabaran itu dibuat
bagi mengatasi jaringan peribadinya dengan 30 gol yang dihasilkan dalam
saingan Liga Perdana pada tahun 1994.
Saban tahun,
penyerang import dilihat lebih mendominasi gelaran kasut emas berbanding pemain
tempatan dan Hashim mengakui beliau sedikit terkilan menyaksikan situasi
tersebut.
Menurutnya,
beliau yakin anak-anak tempatan memiliki kebolehan untuk bersaing dengan
penyerang-penyerang import sebagaimana pemenang Kasut Emas 1993 itu meledak 13
gol, pernah mengalami situasi sama seperti pemain-pemain moden sekarang.
“Saya fikir
pemain-pemain kita boleh bersaing merebut (gelaran) kasut emas dengan pemain
import sebab saya sendiri sudah berjaya lakukannya. Yang penting para pemain
kita kena berusaha keras.
“Saya masih
ingat lagi pada tahun 1993 ketika itu saya muncul sebagai penjaring terbanyak
dan pada tahun seterusnya, saya sudah tekad untuk mempertahankan status itu
yang mana saya cukup ghairah menjaringkan gol tidak kira pasukan kami menang
atau kalah.
“Tahun 1994
merupakan detik gemilang saya apabila berjaya menjaringkan 30 gol dalam liga
(ketika itu dikenali sebagai Liga Perdana sebelum dinaik taraf menjadi Liga
Super pada tahun 2004), tiga gol dalam Piala FA dan empat gol di dalam kempen
Piala Malaysia.
“Saya nampak
penyerang-penyerang tempatan sekarang sedikit terancam selepas kehadiran
pemain import. Untuk menjadi penyerang handalan bukan senang dicapai kerana
mereka haruslah rajin buat ‘kerja rumah’.
“Jika kamu
mendapat peluang lima minit beraksi di atas padang, gunakanlah peluang itu
sebaik mungkin. Saya lebih rela bermain lima minit jika dapat menjaringkan gol
berbanding bermain penuh 90 minit tetapi tidak menjaringkan gol.
“Ingat, mereka
tidak boleh pilih bola ‘sedap’ sahaja untuk menjaringkan gol kerana penyerang
haruslah ada sedikit sikap ‘tamak’ selain bijak menghidu, memanfaatkan dan
menjelmakan jaringan untuk pasukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sebagai rekod,
Abdul Hadi Yahya muncul sebagai pemenang kasut emas terakhir Liga Super buat
pemain tempatan ketika meledak 20 gol bersama bekas pasukan, Terengganu pada
tahun 2011 dan Khairul Izuan Abdullah pemenang kasut Liga Premier apabila
menjaringkan 27 gol ketika bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun
2012.
Hashim juga
mengharapkan satu persaingan sengit dan sihat dalam kalangan pemain-pemain
tempatan terutama penyerang sebagaimana beliau pernah menjadikan legenda bola
sepak negara, Mokhtar Dahari sebagai ‘musuhnya’.
“Kadang-kadang
kamu memerlukan motivasi. Sebagai contohnya, saya akui saya tidak boleh lawan
kehebatan Allahyarham Mohktar di pentas antarabangsa tetapi saya boleh cabar
beliau di dalam aksi liga tempatan.
“Penyerang
sentiasa kena bersaing. Mereka kena ingat bahawa posisi mereka belum selamat
selagi tidak memberikan gol buat pasukan sendiri. Saya pernah menasihati
(penyerang Terengganu) Norshahrul Idlan Talaha ketika dia mewakili Kelantan.
“Saya percaya
dia lebih hebat daripada saya kerana dia cukup berbisa ketika menggelecek dan
kini, saya berharap lebih ramai lagi penyerang-penyerang tempatan akan lebih
berani beraksi berbanding penyerang import,” katanya.
Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz42eLVJ8iB
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan