Rabu, 2 Mac 2016

RUNDINGAN TIGA SEGI ANTARA MALAYSIA-FILIPINA-THAILAND BAGI MEMULIHKAN KEMBALI PERSATUAN NEGARA-NEGARA ASIA TENGGARA (ASA) PADA 2.3.2016

Pada hari ini dalam tahun 1966, satu rundingan tiga segi antara Malaysia-Filipina-Thailand telah berlangsung di Bangkok, Thailand. Persidangan peringkat pegawai tinggi tersebut diadakan bertujuan untuk membincangkan pemulihan kembali Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASA) yang telah telah lumpuh sejak tahun 1963 akibat pergeseran politik antara Filipina dan Malaysia berikutan gagasan penubuhan Malaysia menjadi kenyataan. Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASA) telah ditubuhkan dalam tahun 1962 bagi menggalakkan kerjasama di bidang ekonomi, kemasyarakatan dan kebudayaan antara ketiga-tiga negara Thailand, Filipina dan Malaya pada waktu itu. Perwakilan Malaysia yang menghadiri persidangan tersebut ialah pengawal perdagangan dari Kementerian Perusahaan dan Perdagangan Encik Abdul Ghani Mohd. Nor, Jurucakap Kementerian Luar Encik Ahmad Nordin, Setiausaha Kebangsaan Malaysia untuk ASA Encik Walter Ayathuray dan diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kementerian Luar Negeri Encik Hussain Mohd. Osman. Persidangan tiga negara tersebut yang akan membincangkan Pemulihan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASA) dipengerusikan oleh Putera Wan, Pemangku Perdana Menteri Thai. Persidangan ini antara lain membincangkan menghidupkan kembali rancangan-rancangan ASA yang telah tergendala itu. Antara rancangan-rancangan tersebut ialah penubuhan Tabung ASA, menubuh syarikat penerbangan  dan perkapalan dan memajukan pelancongan antara negara-negara ASA. Pada akhir persidangan peringkat pegawai-pegawai tinggi ketiga-tiga negara tersebut satu kenyatan bersama telah dikeluarkan ialah satu persidangan peringkat Menteri Luar Negara-negara ASA akan diadakan dalam bulan April 1966. Dengan berlangsungnya persidangan tiga negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara tersebut iaitu yang pertama semenjak tahun 1963 telah berjaya memulihkan kembali pakatan tiga negara tersebut dan memungkinkan kerjasama dan persefahaman yang lebih erat pada masa hadapan. 

Sumber- http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan