PERJANJIAN WILAYAH PERAIRAN ANTARA INDONESIA DAN MALAYSIA
Pada hari ini 17.3.1970, satu perjanjian Wilayah Perairan Antara
Indonesia dan Malaysia telah ditandatangani di Kuala Lumpur. Di samping itu
satu Perjanjian Persahabatan Indonesia-Malaysia juga telah ditandatangani dalam
upacara yang sama. Kedua-dua perjanjian ini ditandatangani oleh Timbalan
Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Indonesia, Adam
Malik. Upacara tersebut telah disaksikan bersama oleh Presiden Suharto dan
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Perjanjian yang telah dibuat adalah
merupakan kemuncak kepada usaha-usaha kerjasama yang telah mempereratkan
hubungan kedua-dua negara yang telah terjalin selama ini dalam berbagai bidang
dan lapangan. Dalam ucapan di upacara tersebut, Tun Abdul Razak telah
mensifatkan bahawa perjanjian-perjanjian yang ditandatangani itu boleh dianggap
sebagai sebuah jabatan emas yang menghubungi selat dan lautan di antara kedua
buah negara. Ianya akan memberi galakan dan kemudahan kepada rakyat Malaysia
dan Indonesia untuk hidup bersama dan mencapai kemajuan, kemakmuran serta
ketenteraman di Wilayah ini. Dengan kukuhnya tali persahabatan dan hubungan
kedua negara sebagai jiran tetangga, maka sumbangan yang besar dapat diberi
untuk mencapai kesetabilan dan cita-cita, bersama negara-negara di Wilayah ini
dalam bentuk Piagam Persatuan Negara-Negara Tenggara Asia (ASEAN). Upacara
menandatangani perjanjian ini telah diadakan dalam suasana yang bersejarah
iaitu sempena dengan lawatan Presiden Suharto ke Malaysia. Ketua-ketua kerajaan
dari kedua-dua buah negara juga telah turut serta menyaksikannya. Ini
membuktikan bahawa kedua-dua kerajaan sedang memberi perhatian dan tumpuan yang
utama terhadap peri mustahaknya tali persahabatan dan perhubungan serta
kerjasama yang erat diantara kedua buah negara untuk memelihara dan menjamin
kepentingan bersama. Semenjak Merdeka, Malaysia telah menandatangani perjanjian
persahabatan cuma dengan sebuah negara sahaja iaitu Indonesia. Ini menjelaskan
betapa pentingnya tali persahabatan antara kedua buah negara. Perjanjian
Wilayah Perairan yang ditandatangani adalah satu-satunya bidang kerjasama yang
telah dicapai dalam suasana yang penuh kemesraan, saling mengerti, persefahaman
dan persaudaraan. Selat Melaka merupakan selat yang bersejarah yang
meriwayatkan tali perhubungan sejak zaman berzaman. Perjanjian Wilayah Perairan
yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1970, bersama perjanjian
Persahabatan antara Malaysia dan Indonesia adalah lahir dari hasrat untuk
memperbaharui tali persahabatan dan perhubungan antara kedua negara. Kebetulan
pula upacara yang bersejarah ini telah berlangsung ketika lawatan Presiden
Suharto ke Malaysia.
SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan