Jumaat, 4 Mac 2016

PENGUMUMAN PENUBUHAN MAJLIS SUKAN NEGARA PADA 5.3.2016

Pada hari ini dalam tahun 1969, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan satu badan sukan bertaraf kebangsaan yang dipanggil Majlis Sukan Negara. Ia juga bertujuan mempertingkatkan mutu sukan di negara ini supaya setanding dengan taraf sukan antarabangsa. Sebelum tertubuhnya Majlis ini, pihak Kementerian Belia dan Sukan Negara telah mendapatkan pandangan serta persetujuan dari badan-badan sukan seluruh negara.  Ini penting bagi memastikan rancangan tersebut mendapat kejayaan yang cemerlang. Walau bagaimanapun usul penubuhan Majlis Sukan Negara ini hanya mendapat kelulusan kabinet pada 27.4.1971 dan ditubuhkan dengan rasminya pada 21.2.1972 oleh YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Dengan tertubuhnya Majlis Sukan Negara ini, ia telah dapat memperkemaskan segala kegiatan sukan dan melaksanakan rancangan sukan dengan lebih teratur. Malah melaluinya juga kerjasama antara badan-badan sukan yang dulunya berasingan telah dapat dipereratkan.Antara lain fungsi dan matlamat Majlis Sukan Negara ketika ditubuhkan ialah:-
Menasihatkan Kementerian mengenai perkara-perkara yang berasingan dengan sukan.
Menyelaraskan kegiatan-kegiatan sukan yang dikendalikan oleh Kerajaan dan lain-lain badan.
Mencadangkan langkah-langkah   yang perlu diambil dan dasar yang harus diamalkan untuk memajukan sukan dan
Menggalak dan memajukan penyertaan di bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pada masa ini Majlis Sukan Negara terus memainkan peranan penting dalam usaha meninggikan mutu sukan negara.  Ia telah banyak memberi bantuan membiayai latihan-latihan untuk ahli-ahli sukan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.  Di samping itu juga ia turut memberi bantuan alat-alat sukan dan kemudahan-kemudahan termasuk perubatan yang diperlukan oleh ahli-ahli sukan. Malah Majlis Sukan Negara juga turut membiayai seminar-seminar dan kursus-kursus demi memajukan sukan untuk negara.

Sumber- http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan