10 Mac 2016
2:27 AM
Tani Yutaka
(duduk kiri) lengkap berbaju Melayu bergambar bersama pembantu Mejar Fujiwara
Iwaichi yang mengetuai agensi perisikan Jepun di Tanah Melayu sebelum perang
tercetus. SUMBER WWW.https://malayablackandwhite.wordpress.com.
ENAM bulan
sebelum perang tercetus di Tanah Melayu, Kota Bharu, Kelantan dibanjiri dengan
kehadiran ramai warga Jepun. Mereka melakukan pelbagai aktiviti perniagaan
seperti membuka kedai gambar, menjaja barangan keperluan harian, menjual
pinggan mangkuk, kedai runcit malah membuka kedai kopi.
Kerancakan
warga Jepun menjalankan perniagaan di Kota Bharu yang turut menjual barangan
pada harga yang begitu murah disukai penduduk tempatan.
Malah, sejak
tahun 1930-an lagi, kedatangan warga Jepun bukan sahaja tertumpu di Kelantan
tetapi juga hampir seluruh bandar utama serta pekan kecil di Tanah Melayu. Mereka
menjalankan pelbagai perniagaan termasuk membuka ladang dan lombong melalui
syarikat berskala besar yang melabur di sini.
Nama-nama warga
Jepun seperti Tani Yutaka yang digelar Harimau Malaya oleh penduduk tempatan di
Kuala Terengganu, Ohira, Matsunaga, Tok Kerepek dan Ayah Kawa yang dipanggil
penduduk tempatan terhadap dua warga Jepun di Kota Bharu, Kelantan menunjukkan
bagaimana kemasukan mereka diterima oleh masyarakat setempat pada peringkat
awal.
Mengapa keadaan
ini berlaku? Apakah kaitan kemasukan beramai-ramai warga Jepun ini dengan
kejayaan tentera Jepun mengalahkan pihak British sekali gus menawan Tanah
Melayu dalam masa kira-kira 70 hari sahaja?
Sebenarnya,
sebahagian besar faktor kejayaan tentera Jepun itu berkait rapat dengan aspek
perisikan yang berjaya berfungsi membekalkan maklumat lengkap kepada pihak
Jepun untuk menawan Tanah Melayu, sekali gus menakluk Singapura pada 1942
dengan mudah sekali.
Selain
kegagalan pihak British mengatur strategi taktikal berkesan dan sering
memandang rendah kepada pihak musuh, gerakan perisikan atau Kosaku Jepun yang
teliti dan efisien di Tanah Melayu bertahun-tahun sebelum 1941 menyebabkan
ketumbukan tentera Jepun yang dipimpin oleh ketua-ketua berkaliber dapat
menakluk Tanah Melayu dan Singapura tanpa banyak masalah.
Semangat
patriotik dan cintakan negara juga mendorong perisik-perisik Jepun yang
dihantar ke Tanah Melayu melaksanakan tugas pengintipan dan penyamaran mereka
dengan baik sekali.
Prinsip kenali
musuh peperangan melalui pengintipan seperti ditekankan dalam karya Sun Tzu,
Art of War mendorong pihak Jepun meletakkan aspek perisikan sebagai perkara
utama dalam strategi kemenangan menentang musuh.
Walaupun
pendudukan tentera Jepun hanya berlaku tiga tahun di Tanah Melayu, namun aspek
perisikan yang dilaksanakan sehingga membawa kepada kejayaan negara matahari
terbit itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam serta memalukan pihak
British.
Ikuti
pendedahan wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA yang menjejaki semula pergerakan
perisikan tentera Jepun serta siapakah ejen-ejen pengintipan mereka yang
beroperasi di Tanah Melayu sebelum 1941 termasuk tinggalan-tinggalan sejarah
oleh mereka di negara ini suatu ketika dahulu.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/rencana/kehebatan-strategi-perisikan-jepun-1.199059#sthash.CtygmDVD.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan