Selasa, 22 Mac 2016

PENGANUGERAHAN PANJI-PANJI KEPADA BATALION KE-9 ASKAR MELAYU DIRAJA

Angkatan tentera merupakan tulang belakang bagi pertahanan negara ini dalam menghadapi ancaman musuh di dalam dan luar negara. Pada hari ini 22 Mac 1975, Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, DYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mengurniakan Panji-panji Regimen kepada Sembilan Melayu DiRaja.  Baginda juga menyampaikan amanatnya agar `mengawal dan mempertahankannya setiap masa dengan penuh semangat kesetiaan'. Istiadat penuh gilang-gemilang dan mengikut tradisi ketenteraan itu berlangsung di Markas Sembilan Melayu DiRaja di Kantomen Sg. Besi. Dengan penyampaian panji tersebut Sembilan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1965 telah mendapat pengiktirafan dan penghargaan negara di atas perkhidmatan setia dan cemerlangnya.  Ia juga merupakan sejarah di mana Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia buat pertama kalinya mengurniakan panji-panji Rejimen, manakala di dalam keadaan biasa panji regimen akan dikurniakan oleh Kolonel Ketua Regimen berkenaan. Seri Paduka Baginda juga turut memeriksa perbarisan sembilan pegawai dan 335 orang anggota regimen tersebut. Turut hadir di upacara ini ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Bahiyah binti Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Hussein Onn berserta isteri, Ketua Turus Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Ibrahim Ismail, Ketua Turus Tentera Darat, Leftenan Jeneral Tan Sri Engku Nazaruddin Mohamed dan lain-lain pegawai tinggi angkatan tentera yang turut disertai oleh isteri masing-masing. Dengan pengurniaan Panji-panji kepada Batalion Ke-9 Askar Melayu Diraja pada hari ini dalam tahun 1975, ianya merupakan satu penghormatan kepada angkatan tentera yang menumpukan taat setia kepada negara.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan