Isnin, 7 Mac 2016

LEGASI TUN RAZAK

MD. SHUKRI SHUIB  |  06 Mac 2016 6:12 PM

Tun Abdul Razak Hussein adalah antara tokoh yang paling diingati dalam sejarah politik negara. Sesuailah beliau dianugerah tokoh negarawan ulung, dalam penganugerahan khas Utusan Business Awards 2015 kerana jasa serta bakti yang dicurahkan beliau dapat dinikmati hingga kini. Dalam kebanyakan negarawan di Malaysia, Tun Razak boleh disifatkan sebagai negarawan ulung kerana kemampuan beliau mengenal pasti potensi dan juga keupayaan memimpin dan melahirkan ramai pemimpin bertaraf negarawan yang masing-masing berusaha meneruskan legasi gaya dan dasar pemerintahan yang digagaskan beliau.
Tun Razak adalah “bapa” kepada negarawan yang wujud selepas beliau. Pengakhiran beliau ditangisi ramai manusia dan sejarah memaparkan betapa sayangnya Malaysia kepada beliau atas peninggalan budi yang begitu luhur dirasai ramai anggota masyarakat. Tun Razak terkenal pro pembangunan, dan anti kemiskinan. Beliau bersifat pro kedamaian dan anti permusuhan. Di era Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO, beliau berjaya mengamankan negara.
Beliau telah sanggup “mengorbankan” nostalgia terpenting negara iaitu sebuah gagasan parti bernama Perikatan yang menghimpunkan UMNO bersama MIC dan MCA iaitu berkonsepkan “tiga parti+tiga kaum” dalam satu “himpunan murni” demi kemerdekaan dan perpaduan negara. Mengorbankan Perikatan dengan menjayakan Barisan Nasional (BN) bukan ertinya menamatkan legasi gabungan tiga parti utama teras perpaduan negara, bahkan memperluaskan jaringan persahabatan politik antara pelbagai parti dalam negara. Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, parti-parti Perikatan sedia ada bergabung dengan beberapa parti pembangkang utama yang sering bermusuhan iaitu Pas, Gerakan dan PPP serta rakan-rakan parti politik dari Sabah dan Sarawak. Hasilnya, PRU pada 1974 jelas menunjukkan keharmonian berjaya dipulihkan.
Kedudukan Dewan Rakyat yang begitu tragis kesan pergaduhan politik dan wujud ketidakseimbangan kuasa hasil Pilihan Raya Umum Mei 1969 jelas berjaya dipulihkan. Inilah uniknya gaya kepimpinan dan seni menambat hati tokoh-tokoh politik dalam negara yang sebelum ini bertentangan pandangan mampu di satukan dalam usaha membangunkan negara di bawah teraju Tun Razak. Istimewanya Tun Razak adalah kerana sifat damai dan tenteram serta bijak mencatur penyelesaian yang dimiliki olehnya.
Tun Razak juga berjaya meranapkan impian Parti Komunis Malaya (PKM) pimpinan Chin Peng dan sekutunya apabila berjaya mengalihkan perhatian kerajaan komunis yang memerintah Republik Rakyat China (PRC) pimpinan Mao Tze Tung kepada mengiktiraf kerajaan Malaysia pimpinan BN dan tidak lagi memberikan dokongan pada PKM. Atas asas ini, Malaysia mencatat sejarah menjadi negara demokratik pertama di Asia Tenggara mengiktiraf Beijing dengan menubuhkan misi diplomatik di negara berkenaan. Langkah Tun Razak ini mendahului tindakan mana-mana negara kuasa besar lain termasuk Washington yang pada ketika itu masih mengiktiraf Taipei kerajaan sah mewakili China.
Model memerangi kemiskinan yang begitu agresif dilaksanakan Tun Razak jelas memberikan dampak positif kepada tanah air. Beliau melaksanakannya secara terurus dan tersusun. Gagasan “pentadbiran membasmi kemiskinan” dilakukan secara holistik dan diangkat sebagai asas kepada dasar negara. Dasar negara jelas menjadikan agenda memastikan kemiskinan diatasi dan mekanisme merubah kehidupan rakyat sebagai keutamaan dapat dilihat menerusi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang direka khusus di era Tun Razak pasca krisis perkauman 1969.
Kerancakan perancangan pembangunan di era Tun Razak adalah jelas terpapar menerusi pengemblengan Petronas, Mara dan pertumbuhan kawasan pertumbuhan baru. Pembelaan nasib dan hak masyarakat Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan jelas diaplikasikan secara holistik dan bersepadu tanpa memberikan implikasi perundangan dan cabaran kepada hak masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menerusi gaya pentadbiran Tun Razak yang boleh disifatkan sebagai pragmatik dan berorientasikan tindakan serta keberhasilan, ia membawa dimensi optimum dalam setiap dasar yang dilakukan. Walaupun Malaysia yang dipimpin Tun Razak pada ketika itu masih miskin, namun usaha membangunkan negara ke tahap sebuah negara pesat membangun dilancarkan Tun Razak seolah beliau kelihatan terkejar-kejar dalam mengejar kejayaan.
Holistik
Namun, sifat itulah lambang pemerintah yang terbaik dalam memburu kepantasan kemajuan bukan bagi manfaat diri beliau tetapi ia demi khidmat bakti murni beliau kepada rakyat pimpinannya. Hasilan buah fikiran Tun Razak itu adalah cenderahati terbaik beliau buat rakyat malah masih dinikmati hasilan hingga ke generasi hari ini. Adalah wajar satu Institut Pemikiran Tun Abdul Razak dizahirkan kewujudannya.
Aplikasi seni pemikiran pengurusan politik gaya Tun Razak jelas berjaya dalam usaha menstabilkan kedudukan politik yang melanda Selangor akibat dari kerencaman struktur kaum yang ada di negeri itu, dengan mengambil kira asas kedudukan geo politik domestik pada PRU 1969, Kuala Lumpur dijayakan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada 1974. Kebijaksanaan Tun Razak dalam inspirasinya menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya milikan penuh Kerajaan Pusat dilihat sebagai satu usaha memperkukuhkan perancangan dan kemajuan ibu kota bagi Malaysia tanpa birokrasi yang merentasi dilema kerajaan pusat dan negeri.
Lihat sahaja menerusi aspirasi Tun Razak dalam mewujudkan Wilayah Persekutuan, ia kini telah berkembang kepada tiga kawasan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Perkembangan konsep “perladangan komuniti” secara kolektif yang menghimpunkan masyarakat miskin dan tidak bertanah serta mahu memajukan diri telah dibantu Tun Razak dengan memperkembangkan Felda. Tun Razak adalah “peneroka” Felda yang kini jutaan masyarakat di negara ini telah menikmati hasilan perubahan dari usaha murni Tun Razak dalam membasmikan kemiskinan.
Hasilan dari “produk” Felda telah bergenerasi kini diwarisi dan “tuaian” wang diperolehi dari masa ke semasa. Felda adalah “pusaka” jasa Tun Razak dalam membasmi kemiskinan yang juga diperangi oleh Islam. Tun Razak menjadi begitu diingati dengan langkah beliau yang melibatkan begitu ramai orang muda dalam Kabinet dan juga pentadbiran beliau. Jelas sekali Tun Razak mendahului zaman apabila melihat orang muda sebagai aset dan berpotensi memajukan negara.
Di kala kebangkitan anak muda di universiti menghantui kepimpinan negara pada dekad 1960-an, Tun Razak memandang orang muda sebagai rakan yang dinamik hinggakan pemimpin muda yang diberi peluang pada ketika beliau selaku Perdana Menteri telah berjaya menonjolkan bakti hingga ada yang disegani sebagai negarawan, dan sesuailah Tun Razak dimasyhurkan sebagai negarawan ulung Malaysia seperti diketengahkan kini. Jasa bakti Tun Razak sebagai negarawan ulung Malaysia jelas dirasai dalam denyut nadi kita sebagai warganegara Malaysia.
Haruslah kita menghayati detik jasa dan budi yang beliau tinggalkan sebagai “pusaka” kepada kita. Sedang kita kecapi hasil legasi dasar dan aplikasi pemikiran serta perancangan yang beliau janakan, tidak salahnya jika kita menghadiahkan al-Fatihah buat Bapa Pembangunan negara yang juga berjasa dalam pembangunan diri kita yang dikecapi hari ini. Tanpa jasa dan pengorbanan serta kesungguhan pemimpin ulung seperti mana di tunjukkan Tun Razak, pertarungan Malaysia sebagai sebuah negara baru bebas dari penjajah ketika itu mungkin akan berakhir dengan dukacita dan penghinaan global kepada ketidak berjayaan kita membangunkan negara.
Mujurlah dikurniakan Allah SWT kepada kita dengan pimpinan yang murni menabur budi dan jasa pada rakyat dikala diri sedang dikejar maut. Tun Razak lebih gemar “merawat” derita rakyat yang memerlukan pembelaan serta perubahan berbanding merawat dirinya yang diserang sakit teruk yang membawa maut. Semoga jasa dan budi Tun Razak terus subur dikecapi generasi hari ini dan dikirakan Allah sebagai amal soleh yang ditinggalkan demi kebaikan manusia lainnya.
* PENULIS ialah Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, SOIS, Universiti Utara Malaysia (UUM)

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/legasi-tun-razak-1.197483#sthash.T9c3XJ1F.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan