Ahad, 13 Mac 2016

MAJLIS ITM DITUBUHKAN UNTUK MENTADBIR INSTITUT TEKNOLOGI MARA 14.3.1969

Usaha untuk melatih kaum bumiputra dalam bidang-bidang profesional telah dimulakan sejak negara mencapai   merdeka. Berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan bagi memenuhi hasrat tersebut. Antaranya membuka Dewan Latihan RIDA yang berperanan untuk memberikan latihan kepada bumiputra di dalam bidang-bidang yang tidak dapat diberikan oleh badan-badan kerajaan yang lain, termasuklah bidang perniagaan dan perindustrian. Dewan Latihan RIDA ini kemudian dikenali sebagai Maktab MARA dan selepas itu dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM). Urusan pentadbirannya dipisahkan daripada Bahagian Latihan MARA pada 14 Mac 1970. Tarikh ini merupakan permulaan zaman baru dalam pentadbiran ITM yang ditadbir oleh satu majlis yang dikenali sebagai Majalis ITM atau `Governing Council’. Ahli-ahli Majlis ITM adalah terdiri dari seorang Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan ahli antara 9 hingga 17 orang yang akan dilantik oleh Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Tugas dan tanggungjawab Majlis diterangkan dengan terperinci dalam `Majlis Amanah Rakyat Act 1966’ dan `MARA (Institute Technology) Regulations 1970’. Lima Jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah Majlis ITM untuk tujuan pentadbiran iaitu:-
·         Finance and Development Committee
·         Personnel Management Committee
·         Board of Studies
·         Board of Student Welfare
·         Board of Examinations
Pengerusi pertama Majlis ini ialah Y. Bhg. Tan Sri Ghazali Shafie dan Timbalan Pengerusi pula YAB. Datuk Mansor Osman.  Bermula dari perubahan pentadbiran ini ITM telah dapat mengembangkan sayapnya untuk melatih bumiputra dalam bidang-bidang profesional. Kejayaan ini adalah hasil kegigihan dan kesungguhan pihak pentabiran yang ketika itu diterajui oleh Datuk Dr. Arshad Ayub selaku Ketua Eksekutif ITM. Beliau adalah orang yang telah banyak berjasa dan berjaya memperkenalkan ITM bukan sahaja di dalam negara malah telah meningkatkan lagi perhubungan dengan universiti luar negara termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan negara-negara Eropah.  Sehingga hari ini ITM telah berjaya melahirkan ramai ahli profesional yang setaraf dengan lepasan institusi luar negara. Pelajar-pelajar lepasan ITM telah dapat membantu negara mencapai matlamat pembangunan negara dan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja di dalam bidang-bidang yang sebelum ini tidak dapat diceburi oleh mereka.

SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan