Jumaat, 25 Mac 2016

PENUBUHAN PASUKAN POLIS

Pasukan Polis merupakan satu pasukan keselamatan yang ditubuhkan untuk bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan sesebuah negara. Pada hari ini 25.3.1807 satu pasukan polis yang pertama telah ditubuhkan di Pulau Pinang. Pasukan itu adalah merupakan asas kepada penubuhan pasukan Polis Diraja Malaysia sekarang. Pasukan Polis itu dianggotai oleh anak-anak tempatan dan diletakkan di bawah perintah seorang Ketua Polis dan seorang timbalannya. Mr. James Carnegy merupakan orang pertama dilantik menjadi Ketua Pasukan Polis tersebut. Penubuhan Pasukan Polis Pulau Pinang itu telah merintis jalan ke arah penubuhan Pasukan Polis di negeri-negeri lain. Negeri Melaka mula mengikut langkah Pulau Pinang apabila pasukan Polisnya ditubuhkan pada tahun 1827. Kedua-dua pasukan itu kemudiannya disatukan menjadi Pasukan Polis Negeri-negeri Selat. Apabila berlakunya pertukaran pentadbiran tanah jajahan Inggeris dari Pejabat Tanah Jajahan India ke England, dalam tahun 1872, pentadbiran pasukan Polis ini telah turut terlibat sama. Ia diletakkan di bawah perintah seorang `Inspector General' yang berpusat di Singapura. Perkembangan Pasukan Polis maju setapak lagi apabila tertubuhnya pasukan polis bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 2 Jun, 1899. Kapten H.C.Syers telah dilantik sebagai Ketua Pasukan Polis ini. Satu pentadbiran pusat telah diwujudkan. Sementara itu bagi Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu pula, pasukan polisnya bermula di negeri Johor pada tahun 1882, Kedah dan Kelantan 1909 dan Terengganu 1914. Bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak sejarah pasukan polis bermula pada tahun 1840 secara tidak rasmi di bawah kelolaan Raja Brooke. Tetapi kemudiannya Pasukan Polis Sarawak telah ditubuhkan pada 1862 yang mengandungi 120 orang anggota, dan Mejar W.H. Rodway telah dilantik sebagai Pengarahnya. Pasukan Polis Sabah pula mulai ditubuhkan pada tahun 1882. Menjelang tahun 1948 perkembangan pasukan polis maju setapak lagi apabila seluruh pasukan polis di seluruh Semenanjung Tanah Melayu disatukan dan kemudian dikenali sebagai Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Pasukan Polis Diraja Malaysia kemudiannya telah dibentuk dengan gabungan dari Pasukan-pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Sumber-http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan