Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my
RUZAIRY menunjukkan sebilah
pisau tembeling yang ditemui di tebing Sungai Kelantan, Pasir Mas, Kelantan
kelmarin.
PASIR MAS – Sungai Kelantan di
sini dikenal pasti sebagai salah satu lagi lokasi manusia prasejarah zaman
Neolitik apabila sebilah pisau tembeling ditemui di tebing sungai berkenaan
berhampiran Kampung Kubang Pak Amin di sini kelmarin.
Ketua Pegawai Arkeologi Jabatan
Warisan Negara Wilayah Timur, Ruzairy Arbi berkata, sebelum ini pisau jenis
serupa pernah dijumpai oleh pengkaji Inggeris, I.H.N. Evans di sekitar Sungai
Tembeling, Pahang pada tahun 1930-an.
Beritahu Ruzairy, alatan batu itu
ditemui di situ selepas beberapa pengkaji dari Jabatan Warisan Negara melakukan
cari gali di kawasan tersebut kelmarin.
“Dengan penemuan sebilah pisau
tembeling itu, kami tidak menolak kemungkinan kawasan tersebut pernah diduduki
oleh manusia di zaman Neolitik.
“Kajian mengenai masyarakat
awal manusia di negara ini menjadi bertambah menarik. Justeru, pihak kami akan
meneruskan kerja-kerja cari gali di kawasan sekitar termasuk di permukaan,”
katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Ujar beliau lagi, Jabatan
Warisan Negara juga akan melakukan kajian lanjut untuk mengetahui nilai sejarah
pisau tembeling itu yang merupakan salah satu teknologi alatan batu yang
dihasilkan oleh masyarakat Neolitik.
Selain pisau tembeling, Ruzairy
berkata, sepanjang seminggu menjalankan kajian di kawasan berkenaan, pihaknya
turut menemui pelbagai artifak bersejarah lain seperti seramik, duit syiling
termasuk serpihan tembikar yang dipercayai berasal dari zaman Dinasti Chin,
China.
Kosmo online 6.3.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan