Selasa, 4 Mac 2014

PENGUMUMAN PENUBUHAN MAKTAB TURUS ANGKATAN TENTERA YANG PERTAMA DI MALAYSIA

Pada hari ini 4.3 dalam tahun 1971, Menteri Muda Pertahanan, Tengku Ahmad Rithaudden Ismail telah mengumumkan penubuhan Maktab Turus Angkatan Tentera yang pertama yang akan dibina di Haigate, Kuala Lumpur (berdekatan dengan Kompleks Kementerian Pertahanan). Cadangan penubuhan Maktab ini telah mula disuarakan oleh YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein sejak tahun 1969 lagi.  Maktab Turus Angkatan Tentera merupakan institusi pengajian kedua tertinggi di dalam Angkatan Tentera. Matlamat utama penubuhan Maktab ini adalah untuk melatih pegawai-pegawai yang terpilih agar menjadi pegawai staf terlatih di dalam Tentera Darat, Laut dan Udara. Maktab yang telah dirasmikan pada 8 Januari 1972 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein ini telah memulakan kursus yang pertamanya pada Januari 1972 dengan 30 orang siswa dari ketiga-tiga perkhidmatan. Bilangan penuntut bertambah pada tahun berikutnya dengan penyertaan siswa dari Polis Diraja Malaysia dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Penyertaan siswa dari luar negara bermula pada tahun 1974. Pada tahun 1995, Maktab ini maju setapak lagi selaras dengan keperluan pertahanan negara apabila melaksanakan program berkembar lepasan ijazah dengan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, iaitu Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan.  

SUMBER: http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan