Selasa, 25 Mac 2014

Keunikan bujang berselasar

Oleh ROSALINDA MD. SAID
utusanterengganu.@utusan.com.my
 
PETUGAS melakukan kerja-kerja membuka rumah tradisional Terengganu untuk dipindahkan ke Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia.
KUALA TERENGGANU 19 Mac - Seni bina rumah tradisional merupakan sebahagian daripada gambaran sejarah perkembangan ketamadunan bangsa yang dikaitkan dengan sifat kreatif dan inovatif masyarakat Melayu silam.

Melalui reka bentuk dan cara pembuatannya, warisan itu yang dilanda arus kehidupan moden hampir lenyap bersama ketinggian ilmu seni pertukangan dengan setiap ciptaan membawa maksud tersendiri dalam kehidupan selain keindahannya.

Ia disesuaikan pula fungsinya dengan pegangan agama dan kepercayaan, hubungan kemasyarakatan, cuaca dan persekitaran yang boleh dilihat mencapai titik kesempurnaan melalui rumah bujang beselasar (berserambi).

Rumah jenis itu merupakan antara bentuk terawal dibina dan paling popular dalam sejarah pembuatan rumah tradisional di negeri ini selain rumah bujang berpeleh, rumah te’le dan rumah limas potong Belanda.

Salah satu warisan terakhir itu masih boleh dilihat dalam bentuk asalnya merupakan milik Wan Ahmad Hassan Wan Abdullah, 57, di Kampung Tanjong Pasar dekat di sini, namun dalam keadaan uzur dan menunggu masa diruntuhkan bagi memberikan laluan kepada projek pembangunan kawasan itu.

Ia bakal menjadi tidak lebih sebagai satu longgokan kayu buruk dan terbuang. Namun Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM) melihat itu suatu khazanah yang berharga dan peluang memilikinya tidak dilepaskan begitu sahaja.

Kewujudan rumah bujang berselasar di muzium itu yang akan dibangunkan semula dalam bentuk asal bakal melengkapkan penempatan rumah tradisional yang dikategorikan mengikut tiga zon selain rumah kutai Perak (zon utara) dan rumah minang (zon selatan).

Rumah berusia hampir 150 tahun dibina sendiri oleh pemiliknya, Wan Muda Wan Hassan, seorang pembuat perahu serta barangan tembaga itu memperlihatkan ciri-ciri unik yang tidak terdapat pada kebanyakan rumah tradisional lain di sekitar Semenanjung.

Wan Ahmad Hassan yang mewarisinya, menyerahkan secara rasmi kepada pengarah muzium berkenaan, Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif baru-baru ini sebelum kerja-kerja menanggalkan rumah itu dilakukan untuk dibawa ke muzium.

Menurut Dr. Muhammad

Pauzi, pihaknya berusaha mencari rumah sebegitu sejak tahun lalu dan berasa bertuah berpeluang mendapatkannya, bukan sahaja untuk koleksi pameran dan diabadikan tetapi sebagai bahan pengajian dan penyelidikan serta pemuliharaan.

"Dalam catatan pengkaji barat ada menyatakan rumah bujang berselasar berusia hampir 150 tahun dan dengan ciri papan dinding kembung yang terdapat pada rumah ini secara tidak langsung membuktikan usianya yang lebih satu abad.

"UPM sangat berminat dengan rumah yang didirikan oleh Allahyarham Wan Muda Wan Hassan kerana ia mempunyai ciri yang tidak ada pada kebanyakan rumah Melayu lain di Semenanjung.

"Bagi saya, rumah ini mempunyai banyak keunikan selain tanpa elemen paku, seperti diperbuat daripada kayu cengal yang berlantaikan kayu seraya serta bertiang 12 selain lantainya berpasak dan berselak," katanya.

Rumah bujang berselasar lazimnya berbumbung panjang dengan papan pemeleh dan beralas atap singgora memberi tekstur menarik selain identitinya turut terletak pada struktur tiang dan ruang selasar, rumah ibu dan dapur.

Sesuai dengan namanya bujang, rumah ini tidak mempunyai bilik sebaliknya hanya mempunyai ruang luas (rumah ibu) kerana masyarakat Melayu mementingkan perjumpaan atau berkumpul untuk majlis keramaian dan keagamaan.

Aras paling tinggi adalah rumah ibu yang boleh dilalui di bawahnya dengan pelbagai aktiviti harian boleh dijalankan atau untuk teduhan barangan kelengkapan manakala selasar hanya setinggi paras pinggang orang dewasa.

Selasar berfungsi sebagai ruang untuk mengajar mengaji, menjahit pukat atau jala dan aktiviti santai yang banyak melibatkan kaum lelaki.

Bercerita lebih lanjut mengenai butiran rumah itu, Dr. Muhammad Pauzi berkata, rasional di sebalik lantai jarang adalah untuk memenuhi keperluan seperti membasuh lantai, memandikan mayat, menyapu menyapu habuk, selain menyejukkan.

Salur angin yang menghiasi dinding rumah bagi menggantikan tingkap pula berfungsi untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik di ruang rumah ibu.

"Elemen tangga juga penting dalam rumah bujang berselasar dan terdapat sebuah tangga yang menghubungkan selasar dengan tanah dan selasar dan ruang ibu.

"Binaan bumbung yang rendah pada pintu sekali gus menuntut posisi menunduk ketika memasuki rumah ibu sebagai tanda hormat kepada tuan rumah," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Hassan berkata, dia terharu dengan inisiatif UPM dan tidak sangka rumah pusaka berkenaan mempunyai nilai begitu tinggi sehingga dibeli untuk terus dibangunkan semula.

"Menurut cerita ayah, selepas datuk meninggal pada 1937, semua anak-anaknya berpindah. Rumah itu kemudian disewakan sampai kini. Jadi boleh dikatakan kesemua generasi cucu termasuk saya tidak pernah tinggal di rumah itu.

Wan Ahmad Hassan melahirkan rasa terharu dan bangga apabila pihak UPM mengambil inisiatif mengambil rumah berkenaan untuk dijadikan sebagai bahan sejarah.

"Sekiranya mereka tidak mengambil rumah ini, ia akan dirobohkan begitu sahaja kerana kampung ini akan dimajukan.

"Dengan terpeliharanya rumah ini, ia juga mengekalkan sejarah kepada keluarga kami kerana arwah datuk yang membina rumah ini dan kami adik-beradik akan dapat terus melihat warisan itu di muzium kelak," katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20140320/wt_01/Keunikan-bujang-berselasar#ixzz2x2x59rvS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan