Sabtu, 1 Mac 2014

PM rasmi Menara Mara


 


Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur akan dirasmikan oleh Najib Tun Razak pada Isnin ini.
KUALA LUMPUR 1 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Menara Mara yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada Isnin ini.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, majlis perasmian yang akan berlangsung pada pukul 8 malam itu adalah bersempena sambutan 48 tahun Mara.

"Perasmian menara itu merupakan manifestasi usaha berterusan Mara dalam memartabatkan kaum bumiputera yang mana tapak asal menara ini adalah bangunan pertama Mara yang didirikan pada tahun 1967," kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Beliau berkata, Menara Mara siap sepenuhnya pada 2012 bercirikan reka bentuk komersial kontemporari serta berkonsepkan latar tradisi Melayu progresif dengan penerapan elemen-elemen seni anyaman Melayu tradisional dan juga cokmar yang mana menara ini melambangkan identiti Mara sebagai pemangkin dan pelopor kemajuan Melayu masa kini.

"Menara yang diuruskan oleh Mara Incorporated (Mara Inc.), memenuhi keperluan bumiputera untuk menjalankan perniagaan di lokasi strategik sekali gus membantu usahawan mereka bersaing dalam dunia perniagaan dan perkhidmatan komersial," ujarnya.

Menara Mara mempunyai ruang pejabat berkeluasan 715.35 meter persegi pada setiap aras dan mempunyai Hotel Premiera bertaraf empat bintang yang turut menyediakan Dewan Utama dan bilik seminar.

Ia juga mempunyai BUSANA@Menara MARA, berkeluasan 6,038 meter persegi yang menyediakan ruang perniagaan kepada usahawan bumiputera yang berwibawa untuk memperluaskan perniagaan dalam kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Sempena perasmian menara itu, pameran tentang sejarah, kejayaan serta transformasi Mara turut diadakan.

"Pelbagai acara telah disusun sempena perasmian dan sambutan ini, justeru kami menjemput semua komuniti Mara yang berjumlah lebih dua juta serta orang ramai untuk turut hadir memeriahkan majlis ini," katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140302/dn_02/PM-rasmi-Menara-Mara#ixzz2ul48YmyN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan