Jumaat, 7 Mac 2014

Pernah jadi sarang lanun

 
PULAU Kukup merupakan kawasan hutan bakau terbesar di negara ini.
"SELAT Kukup masa itu adalah seperti suatu bilik. Kalau berapa besar angin pun di situ teduh juga. Maka oleh sebab orang hendak berlindungkan angin lalu masuklah ke dalam jalan Selat Kukup itu.

"Maka di situlah tempatnya ditangkap perompak, sebab ia boleh kelihatan orang. Orang tidak boleh melihat dia. Maka sebab itulah kerap orang terserempak didapatinya dengan senangnya."

Itulah sebahagian catatan Abdullah Munsyi, sasterawan Melayu terawal mengenai kegiatan lanun yang pernah berleluasa di Pulau

Kukup, ratusan tahun yang lalu.

Pulau Kukup merupakan sebuah mukim yang terletak tidak jauh dari Tanjung Piai. Tidak lengkap kunjungan ke Tanjung Piai tanpa singgah ke pekan Kukup yang mempunyai tarikan dan sejarahnya tersendiri.

Pembantu Hidupan Liar, Ismail Sairan berkata, catatan yang ditinggalkan oleh pengkaji sejarah terdahulu menunjukkan Pulau Kukup pernah menjadi sarang aktiviti lanun.

Katanya, catatan ahli sejarah bernama Salleh Md. Don mengatakan kegiatan lanun di perairan Kukup memuncak pada zaman penjajahan Belanda antara 1818 hingga 1824.

Kegiatan menyamun dan merampas barang dagangan di situ menyebabkan golongan pelayar takut untuk melalui perairan Kukup.

"Dikatakan setiap kapal dagangan, tongkang dan perahu nelayan yang diserang akan ditelungkup (lingkup) oleh lanun.

"Daripada perkataan 'telungkup' itulah Kukup mendapat nama,'' ujarnya.

Selain kisah lanun, Pulau Kukup juga terkenal dengan legenda puteri kayangan lima beradik yang kehilangan adik bongsu mereka selepas jatuh cinta dengan seorang pelayar.

"Untuk mencari puteri bongsu, keempat-empat puteri kayangan itu telah menyumpah pulau itu tenggelam dengan harapan adik mereka akan timbul di permukaan.

"Malangnya adik bongsu mereka tidak juga ditemui dan pulau itu bertukar menjadi pulau yang dipenuhi lumpur sehingga dipenuhi pokok bakau,'' katanya.

Mitos kedua pula mengatakan Pulau Kukup dijaga oleh seekor ular gergasi.

Maharan Katan, 64, berkata, menurut apa yang sering diceritakan oleh masyarakat terdahulu, ada yang pernah terserempak dengan ular yang mempunyai saiz luar biasa.

"Ular itu dikatakan menghuni kawasan lapang di tengah-tengah Pulau kukup.

"Ular itu dipercayai sering berenang berulang-alik ke Pulau Pisang dan Pulau Karimun di Selat Melaka," ujar beliau yang berhijrah dari Indonesia ke negara ini sejak lebih 50 tahun lalu.

Dari segi pelancongan dan kepentingan eko-sistemnya, Pulau Kukup yang terletak di perairan Selat Melaka lebih dikenali sebagai satu lagi taman negara di dalam Negeri Johor.

Seperti Tanjung Piai, Pulau Kukup yang mempunyai keluasan 1,447 hektar turut mendapat pengiktirafan sebagai Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar).

Pengurus Ramsar Taman Negeri Johor, Siti Nur Azimah Abdul Wahab berkata, Pulau Kukup merupakan pulau paya bakau tanpa penduduk kedua terbesar di dunia.

"Kawasan hutan bakau seluas 647 hektar di Pulau Kukup mewakili tiga per empat daripada keseluruhan hutan bakau di negara ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140222/lk_03/Pernah-jadi-sarang-lanun#ixzz2vKE8MrDI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan