Sabtu, 1 Mac 2014

Taib angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Sarawak

Taib angkat sumpah Yang Dipertua Negeri Sarawak
1 Mac 2014
Abdul Taib Mahmud
Abdul Taib Mahmud Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh sambil disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (kiri) pada Istiadat Angkat Sumpah di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri di Kuching, hari ini. - Foto Bernama

KUCHING - Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak semalam selepas hampir 33 tahun memegang jawatan itu, hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh.

Upacara itu bermula 11 pagi dengan Tan Sri Adenan Satem, yang menggantikan beliau sebagai ketua menteri baharu, membacakan watikan pelantikan yang disampaikan kepada Taib oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur semalam.

Selepas menandatangani watikah pelantikan itu, Taib mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini yang turut dihadiri Adenan.

Isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, barisan Kabinet negeri dan beberapa orang kenamaan setempat antara yang turut hadir.

Beliau menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang penggalnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak tamat semalam.

Taib dilantik ketua menteri keempat Sarawak pada 26 Mac, 1981, bagi menggantikan bapa suadaranya Tun Abdul Rahman Ya'kub.

Anak sulung daripada 10 beradik itu dilahirkan pada 21 Mei, 1936, kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya'kub.

Taib berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak.


Beliau menceburi politik pada 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan