Isnin, 3 Mac 2014

DEWAN RAKYAT MELULUSKAN RANG UNDANG-UNDANG BAHASA KEBANGSAAN 1967

OLEH- AHMAD YAAKOB
Pada hari ini dalam tahun 1967,  bahasa Melayu telah dijadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal bila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967.  Rang Undang-undang ini telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada 2 Mac 1967 dan telah disokong oleh Menteri Kewangan Tan Siew Sin. Perbahasan yang hangat telah terjadi selama dua hari suntuk dengan bangkangan ahli-ahli pembangkang ketika itu. Tokoh-tokoh bahasa, sasterawan dan rakyat Melayu memang telah lama berjuang untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi. Walau bagaimanapun usaha ini kurang berjaya dan pemimpin-pemimpin kerajaan berjanji akan menaikkan taraf bahasa Melayu kepada Bahasa Kebangsaan dan Rasmi hanya 10 tahun   selepas Merdeka 1957. Oleh kerana itu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Perkara 52, Fasal I, telah mencatatkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh ditegah dari digunakan.  Fasal 3, 4 dan 5 pula telah membenarkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi, bahasa Undang-undang, perbincangan dan tugas-tugas mahkamah. Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 ini adalah bertujuan untuk menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan menggantikannya dengan bahasa Melayu. Di samping itu juga, perbahasan di Parlimen mestilah dijalankan dalam bahasa Melayu.  Walau bagaimanapun bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan dalam kehidupan harian ataupun dengan cara membuat terjemahan ke dalam bahasa Melayu.  Di Sabah dan Sarawak, Bahasa Inggeris masih boleh digunakan sebagai bahasa rasmi kecuali kalau ada bantahan dari Dewan Undangan Negeri. Setelah dibahaskan dengan begitu hangat, Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 telah berjaya diluluskan oleh Dewan Rakyat pada hari ini dalam tahun 1967. Dengan lulusnya Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 itu bahasa Melayu akhirnya dimahkotakan sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal di negara kita dan berkuatkuasa mulai 1 September 1967.

SUMBER: http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan