Oleh Kurniawati Kamarudin
KUALA PILAH (Bernama) --
Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang menjadi satu daripada warisan
budaya dan sejarah dalam pentadbiran beraja di Negeri Sembilan dizahirkan
kembali setelah hampir lima tahun tidak diadakan.
Istiadat itu, yang dimulakan sejak
1898, adalah bagi mengulang taat setia Penghulu-Penghulu Luak kepada Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai payung yang memerintah.
Penghulu Luak itu terdiri
daripada Penghulu Luak Ulu Muar, Penghulu Luak Terachi, Penghulu Luak Gunung
Pasir, Penghulu Luak Jempol dan Penghulu Luak Inas serta luak-luak kecil iaitu
Luak Gemenceh dan Luak Air Kuning.
SEJARAH AWAL
Bertempat di Bandar Diraja Seri
Menanti, kehadiran ribuan rakyat dari seluruh Negeri Sembilan serta pelancong
luar memberi peluang untuk mendekati dan memahami istiadat Penghulu-Penghulu
Luak Menghadap. Ia serentak dengan Pesta Persukuan Adat yang diadakan di
halaman Istana Lama Seri Menanti, baru-baru ini.
Generasi tua, muda mahupun
kanak-kanak datang untuk bersama-sama menyaksikan keunikan istiadat yang
menjadi kebanggaan terutama pengamal dan pendukung Adat Perpatih di negeri yang
mendapat jolokan Negeri Beradat.
Kali terakhir Istiadat Ulangan
Penghulu-Penghulu Menghadap diadakan pada 26 Okt, 2009 semasa istiadat
Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sekarang, Tuanku Muhriz ibni
AlMarhum Tuanku Munawir.
Mengikut sejarahnya, keputusan
mengadakan istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap ini dipersetujui
dalam kalangan datuk-datuk penghulu luak pada zaman pemerintahan Tuanku Muhamad
pada tahun 1898.
Ketika itu diputuskan istiadat
itu akan dilaksanakan setiap tiga tahun sekali, menurut Penyelaras Adat
Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Datuk Ibrahim Jahaya.
Ujar beliau, ia melibatkan
penghulu-penghulu luak tanah mengandung, iaitu penghulu yang menjaga
pentadbiran wilayah adat termasuk Istana Besar Seri Menanti, tempat
bersemayamnya Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan.
Tujuannya adalah untuk
memperbaharui taat setia dalam kalangan penghulu luak yang dipilih oleh anak
buah dalam kawasan pentadbiran adat masing-masing, katanya.
"Setelah dilantik oleh
anak buah, ada istiadat menyempurnakan perlantikan itu dengan datuk penghulu
datang menghadap kepada tuanku serta melafazkan taat setia untuk menjaga
pentadbiran adat di luak masing-masing.
"Setiap tiga tahun sekali
mereka perlu datang menghadap kepada Tuanku untuk memperbaharui ikrar taat
setia itu yang dipanggil Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak
Menghadap," katanya.
ATUCARA ISTIADAT
Selama tiga hari, Istana Besar
Seri Menanti menerima kedatangan pemimpin-pemimpin adat yang mewakili anak buah
(rakyat), kerabat-kerabat raja yang lengkap berpakaian istiadat, berbaju
Melayu, bertanjak serta keris di pinggang.
Ia dimulakan dengan istiadat
menurunkan alat-alat kebesaran.
Menurut Ibrahim, ia menjadi
satu tatacara wajib yang harus dilakukan setiap kali berlakunya istiadat di
Istana Besar Seri Menanti yang melibatkan Yang Dipertuan Besar.
Istiadat dimulakan setelah Yang
Dipertuan Besar berkenan untuk menepung tawar dan memeriksa setiap alat
kebesaran yang diletakkan di ruang tengah Istana Besar Seri Menanti.
Alat-alat kebesaran itu terdiri
daripada lapan payung kuning, lapan keris panjang, lapan pedang panjang, empat
panji-panji kuning, dua panji-panji merah, dua panji-panji hitam dan lapan
tombak berambu.
Setelah mendapat titah perkenan
tuanku, Pegawai 99 yang diketuai Datuk Setia Bijaya kemudian akan memasang alat
kebesaran berkenaan di halaman istana.
Baginda turut sama menyaksikan
istiadat pemasangan alat kebesaran itu dengan diiringi penghulu-penghulu luak.
Setelah kesemua payung
kebesaran dikembangkan, tiga das tembakan meriam dilepaskan bagi menandakan
istiadat menurun dan memasang alat kebesaran selamat disempurnakan, katanya.
ISTIADAT BERSIRAM
Pada hari kedua, Istiadat
Bersiram pula dijalankan di Panca Persada yang terletak di luar kawasan Istana
Besar Seri Menanti. Selain dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja
dan kenamaan kerajaan, masyarakat di sekitar Negeri Sembilan turut tidak
melepaskan peluang untuk menyaksikan istiadat penuh sejarah itu.
Ia dimulakan dengan Yang
Dipertuan Besar, Tuanku Mukhriz dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku
Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, dihela (ditarik) menaiki kenderaan khas
Takhta Rencana dari istana ke Panca Persada, sejauh kira-kira 400 meter.
Pegawai 99 yang didahului Datuk
Setia Bijaya bersama 20 Pegawai 99 di hadapan, 20 orang di belakang serta 20
orang setiap kiri dan kanan ditugaskan menghela kedua-dua baginda.
Di atas Takhta Rencana pula,
tuanku berdua bersemayam dengan diapit kiri dan kanan oleh Datuk Laksamana II
yang memegang Padang Sebarau Bujang dan Datuk Kanda Maharaja memegang keris
senawi. Manakala Datuk Mangku memegang Payung Kuning dan Datuk Bentara Perempuan
membawa kipas keemasan.
Perarakan pada pagi itu,
didahului kumpulan rebana sambil bersalawat, kemudian diikuti Pegawai 99 yang
membawa alat kebesaran diraja serta dituruti pembawa cepu bedak limau oleh
Datuk Raja Penghulu bersama Datuk Menti Laksamana.
Sebaik perarakan dimulakan,
tembakan meriam sebanyak lapan das dilepaskan sehingga sampai ke Panca Persada
dan tuanku berdua naik ke singgahsana.
Upacara dimulakan dengan Datuk
Raja Penghulu yang membawa cepu bedak limau menyerahkannya kepada Datuk Menti
Laksamana untuk diletakkan di atas meja di hadapan Yang Dipertuan Besar dan
Tuanku Ampuan Besar.
Orang Empat Istana kemudian
memulakan tujuh pusingan sambil membawa cepu bedak limau dengan mengelilingi
tuanku berdua. Selesai pusingan itu, cepu bedak limau dipersembahkan kepada
tuanku berdua dimulai oleh Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk
Penghulu Dagang dan Datuk Akhir zaman secara bergilir-gilir dan tuanku berdua
mencelup tangan setiap kali dipersembahkan.
Selesai istiadat itu, lapan das
tembakan meriam dilepaskan bagi mengiringi perarakan keberangkatan balik tuanku
berdua menaiki Takhta Rencana.
Ibrahim berkata mungkin ramai
yang beranggapan adat bersiram itu sama seperti adat bersiram ketika majlis
perkahwinan. Hakikatnya sangat berbeza, yang mana adat bersiram semasa
perkahwinan dikenali sebagai adat bersiram mandi-manda. Manakala adat bersiram
yang dijalankan oleh tuanku berdua adalah sebagai acara simbolik bagi
menyucikan diri.
ISTIADAT MENGHADAP
Hari ketiga pula berlangsungnya
kemuncak keseluruhan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Menghadap yang diadakan
secara tertutup di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.
Yang Dipertuan Besar dan Tuanku
Ampuan yang bersemayam di singgahsana diapit oleh Tuanku Besar Seri Menanti dan
Tuanku Muda Serting di sebelah kanan manakala Tuanku Laksamana, Tuanku Panglima
Besar di sebelah kiri.
Sebaik Datuk Bentara Dalam
mengisytiharkan istiadat Penghulu Luak dizahirkan, sebanyak 11 das tembakan
meriam dilepaskan.
Datuk Penghulu Luak Ulu Muar
mendahului menghadap dengan berkesot naik sebanyak tujuh tangga ke singgahsana.
Apabila sampai di atas sekali, beliau mencium tangan Yang Dipertuan Besar
sebanyak tiga kali sebelum berkesot untuk turun dari singgahsana.
Lafaz kemudian dibacakan dengan
menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Yang Dipertuan Besar
sebagai payung adat dan negeri.
Upacara itu kemudian dituruti
oleh penghulu-penghulu Luak Terachi, Luak Gunung Pasir, Luak Inas dan Luak
Jempol serta Luak Gemenceh dan Air Kuning.
"Inilah acara kemuncaknya
bagi Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang cukup istimewa
serta perlu dihayati sebagai tanda taat setia rakyat kepada raja.
"Nilai-nilai ini yang
ingin diterapkan terutama kepada generasi muda hari ini dalam usaha
memperkenalkan keindahan Adat Perpatih," katanya.
PENGALAMAN BAHARU
Bukan sahaja generasi muda,
kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan semakin hari meminggirkan Adat
Perpatih dalam kehidupan mereka.
Tidak menghairankan, ada
segelintir di beberapa daerah di Negeri Sembilan telah hilang identii adat dan
budaya yang dipegang selama ini.
Bagi Shahara Akmal Shahril, 19,
dari Kampung Terachi, Pesta Persukuan Adat dan Istiadat Ulangan
Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang diadakan itu memberi satu pendedahan
baharu mengenai nilai-nilai murni serta keunikan yang terdapat dalam Adat
Perpatih.
"Saya datang ke sini untuk
mengetahui lebih lagi tentang Adat Perpatih. Saya rasa orang di Negeri Sembilan
yang mengamalkan Adat Perpatih patut berbangga dengan adat dan budaya yang
dimiliki.
"Persepsi negatif
masyarakat luar terhadap Adat Perpatih disebabkan ketidakfahaman mengenai adat
itu. Pendedahan melalui Pesta Persukuan Adat dan istiadat yang dijalankan ini
sedikit sebanyak boleh membuka mata dan menjelaskannya", katanya.
Sementara itu, seorang daripada
pelancong dari Medan, Indonesia, Syafizal S.Sos yang berpeluang menyaksikan
istiadat bersiram turut mengakui keunikan adat yang dirasakan dekat di hatinya.
Keramahan masyarakat di sini
membuatkan beliau seperti berada di kampung halaman sendiri selain adat dan
istiadat yang tidak banyak berbeza.
"Memang tidak jauh seni
dan budaya yang ada di Negeri Sembilan. Istiadat yang ada cukup indah dan unik
untuk dikongsi bersama pelancong yang datang," katanya.
sumber-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan