MUAR - Sejarah Melaka dalam
buku teks sekolah berkemungkinan perlu dirombak semula berdasarkan penemuan baharu
Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (Iksep).
Pengurus Besar Iksep Datuk Aziz
Ujang berkata penemuan itu dibuat hasil kajian institut itu yang dalam proses
menyiapkan lapan jilid Buku Sejarah Nasional Malaysia, yang kini masuk 80
peratus siap.
Sejarah kegemilangan Melaka
dirujuk 100 tahun sebelum kejatuhan empayar itu pada 1511 tetapi melalui kajian
terbaharu Iksep, ia sebenarnya bermula lebih awal iaitu pada 1262, katanya
dalam sidang media selepas merasmikan Kem Rakan Remaja Patriotik 2014 peringkat
negeri di Pusat Latihan Khidmat Negara
Nasuha di Pagoh hari ini.
Katanya beliau akan bertemu
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan
berhubung perkara itu.
Beliau berkata empat jilid
pertama Buku Sejarah Nasional Malaysia yang menelan belanja RM4 juta itu bakal
dilancar November depan.
Aziz berkata buku sejarah itu
merupakan hasil kajian lima tahun, membabitkan 18 orang pakar sejarah negara
termasuk dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sebelum empat jilid pertama itu
diterbitkan, Iksep akan menganjurkan bengkel kepada mana-mana pihak yang
berminat untuk menambah baik isi kandungan buku sejarah berkenaan.
Aziz berkata untuk mengelak
daripada fakta sejarah dalam buku tersebut dipertikai, kesemua pakar sejarah
yang terlibat dalam membantu pengisian buku tersebut adalah daripada ahli-ahli
akademik pelbagai bangsa bagi menentukan kesahihannya dan tidak terpesong
daripada kebenarannya.
Antara kandungan buku itu
termasuk menjejaki sejarah negara di antara prasejarah daripada zaman
Paleolitik iaitu zaman batu awal, Mesolitik (zaman batu pertengahan), Neolitik
(zaman batu baharu), ke rentas era kegemilangan Empayar Melayu Melaka, pra dan
pasca Merdeka sehingga era globalisasi yang membentuk Malaysia moden.
Katanya, sumber buku sejarah
Nasional Malaysia adalah berdasarkan daripada rekod, dokumen serta
hikayat-hikayat Melayu dan Cina termasuk arkib, muzium dan pusat sejarah
terutama di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. - Bernama
SINAR HARIAN ONLINE 27.5.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan